BANGKIT TERAJU TAKHTA
Klopp puji semangat juang pemain benam Bournemouth
Pengurus Liverpool, Juergen Klopp memuji aksi bertenaga yang dipamerkan pemainnya hingga membolehkan The Kop mencatat kemenangan di Anfield selepas dua keputusan seri pada saingan Liga Perdana Inggeris.
Liverpool berjaya memperoleh tiga mata selepas menewaskan Bournemouth 3-0 malam kelmarin sekali gus kembali ke puncak liga merampas kedudukan juara bertahan Manchester City.
Tuan rumah menghasilkan jaringan pembukaan menerusi Sadio Mane yang menerima umpanan James Milner pada minit ke-24, diikuti jaringan cantik Georginio Wijnaldum pada minit ke-34 sebelum pemain terbaik tahun lalu, Mohamed Salah melengkapkan kemenangan selesa pada minit ke-48.
“Kami sedar tidak gembira dengan keputusan seri dengan Leicester dan West Ham dalam dua perlawanan lalu. Kami bertungkus-lumus untuk mencatat kemenangan.
“Banyak perkara yang kami lakukan untuk mengatasinya. Kami mempunyai harapan yang tinggi dan hari ini kami berjaya mencapainya dengan persembahan luar biasa di tengah padang.
“Itu reaksi yang kami mahu tunjukkan. Kami menelitinya dan mahu bermain dengan lebih meyakinkan dan beraksi lebih baik,” kata Klopp.
“Mentaliti pemain ini antara faktor yang membawa kejayaan pasukan ini. Rekod jaringan Mo (Salah) sangat baik tapi persembahannya juga menakjubkan.
“Ini kualiti bola sepak yang ada padanya. Dia terbabit dalam semua pergerakan, kadang-kadang turun membantu pertahanan dan begitulah cara yang dia perlu lakukan,” kata Klopp.
Jurulatih Bournemouth, Eddie Howe pula berasakan Liverpool turut disokong tuah bakal juara apabila diberitahu oleh kakitangan kejurulatihannya bahawa gol pembukaan hasil tandukan Mane sepatutnya dibatalkan pengadil kerana ofsaid.
“Ia saat yang penting. Kami bersedia untuk mengecewakan mereka dan berjaya menutup ruang hingga gol pertama. Ia sepatutnya ofsaid, ia mengubah permainan.
“VAR (penolong pengadil video) dapat membantu dalam situasi itu dan saya rasa ia menguntungkan semua pihak. Gol begitu jelas ofsaid dan kami patut mendapat keputusan yang tepat.”