Harian Metro

TFC jangan terlalu selesa arena sendiri

- Malik Muhamad sukanteam@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Beraksi di laman sendiri bukan jaminan buat pemain Terengganu FC (TFC) untuk mudah menjinakka­n Johor Darul Tazim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.

Sebaliknya pengendali skuad Penyu itu, Irfan Bakti Abu Salim menuntut anak buahnya beraksi bagaikan ‘anak jantan’ jika mahu mencatat kemenangan pertama selepas mengharung­i dua perlawanan terdahulu.

Selain itu, Irfan turut menuntut naib juara Piala Malaysia musim lalu itu tidak terlalu menghormat­i status juara bertahan Liga Super itu yang dibarisi majoritiny­a pemain bintang biarpun pemain TFC kini masih bergelut dengan prestasi tidak konsisten.

“Tiada elemen lain buat pemain kami untuk mengutip mata penuh bertemu pasukan terkuat dalam negara itu melainkan mereka perlu bangkit sebagai anak jantan serta fokus sepanjang aksi 90 minit jika tidak mahu dimalukan di laman sendiri.

“Kami sedar pertemuan dengan JDT nanti bakal berdepan laluan berduri, tapi kami tuntut pemain tidak cepat putus asa dan leka,” kata Irfan ketika ditemui pada program penaja GLE Centre Enterprise iaitu pengeluar kopi super jantan bersama pemain di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak petang semalam.

Pada majlis itu, Pengarah Urusan GLE Centre Enterprise, Mohd Zulkifli Harun menyampaik­an kata-kata semangat selain menyerahka­n kopi super jantan kepada pemain dan jurulatih serta menurunkan tandatanga­n di kain rentang bagi menyuntik semangat skuad itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) termasuk pertemuan dengan JDT nanti.

Mengulas lanjut, Irfan menggesa anak buahnya melupakan episod malang dicalar Pahang Sabtu lalu sebaliknya perlu tampil dengan permainan sebenar sebagaiman­a musim lalu.

“Saya kenal pemain saya, mereka mampu bermain dengan baik, apatah lagi pernah tewaskan skuad JDT 1-0 musim lalu dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia, tapi saya ingatkan pemain agar tidak terlalu menghormat­i lawan sebaliknya perlu lebih agresif mencipta gerakan untuk memburu jaringan awal bagi menyuntik semangat mereka.

“Semua pemain harus bijak memikul peranan masing-masing selain mengelak kesilapan yang bakal mengundang padah kerana lawan bijak menghukum jika kita lalai,” kata Irfan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia