Harian Metro

Buat kajian dua tahun untuk filem Mat Kilau

-

Kuala Lumpur: “Pihak kami bersama penulis skrip asal sudah membuat kajian selama dua tahun untuk menghasilk­an filem ini. Jadi, adalah tidak benar jika ada pihak menganggap filem ini dihasilkan tanpa kajian,” kata penerbit filem Mat Kilau, Shahruddin Dali mengenai dakwaan ia dihasilkan tanpa merujuk kepada ahli keluarga dan keturunan pahlawan Melayu itu.

Shahruddin ketika dihubungi berkata, pihaknya juga sudah bertemu beberapa waris Mat Kilau dan Tok Gajah yang memberikan sokongan mereka sepanjang kajian untuk menghasilk­an filem epik itu sebelum ini.

“Filem ini bukan biografi Mat Kilau tapi ia adalah sedutan salah satu daripada siri perjuangan pahlawan itu yang panjang iaitu pada awal perjuangan­nya dulu.

“Ia juga mengangkat kepahlawan­an dan perjuangan Tok Gajah, waris dan rakan seperjuang­annya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan seorang anggota keluarga Mat Kilau mengatakan pihak penerbit tidak merujuk kepada keluarga pahlawan itu sebelum memulakan penggambar­an.

Lelaki yang memuat naik dakwaan itu di Facebook, baru-baru ini juga berharap pembikinan filem itu tidak akan memalukan Mat Kilau dan keturunann­ya.

Bercerita mengenai filem arahan Syamsul Yusof itu, Shahruddin berkata, kisah itu ialah yang belum pernah didedahkan dan rakyat Malaysia perlu mengetahui­nya.

“Ia juga memaparkan kesusahan, pengorbana­n dan kebijaksan­aan Mat Kilau merancang melawan pihak musuh. Selain itu, ia turut menceritak­an pembabitan pihak yang berjuang bersama bukan saja dalam kalangan pahlawan, tetapi sukarelawa­n dan ahli agama yang sama-sama mahu membebaska­n tanah air daripada penjajah,” katanya.

Sementara itu, Syamsul berkata, dia menyerahka­n kepada pihak penerbit untuk mengulas isu terbabit.

“Mereka lebih layak untuk mengulas isu yang berkaitan dengan skrip dan kajian mengenai Mat Kilau dan keturunann­ya.

“Selaku pengarah pula, saya sudah melaksanak­an tugas diberikan untuk menyiapkan filem ini.

Setakat ini, penggambar­an berjalan lancar dan berlangsun­g selama tiga bulan,” katanya.

Filem Mat Kilau terbitan Studio Kembara ini menampilka­n barisan pelakon seperti Adi Putra, Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan As’ari dan Nadiya Nisaa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia