Harian Metro

Tahanan diperdaya sindiket

-

Kuala Lumpur: Semua 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey di Kemboja dibebaskan, petang semalam selepas beberapa perundinga­n dibuat antara kerajaan Kemboja dan Malaysia.

Ketua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabang­sa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican yang mengesahka­n perkara itu berkata, keputusan meluluskan pembebasan itu dibuat Perdana Menteri Kemboja Hun Sen setelah mendapati semua tahanan itu ditipu sindiket ejen pekerjaan.

“Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan, pihaknya sudah melihat dan meneliti semua perkara bahawa tahanan dari Malaysia telah ditipu dan diperdaya sindiket ejen pekerjaan.

“Kita juga melihat dari segi hubungan diplomatik kedua-dua negara yang sudah lama terjalin,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Wisma Putra pada Khamis lalu mengesahka­n laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu sejak 11 Disember tahun lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalanka­n aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Dr Mustapha berkata, selain Wisma Putra, beberapa pemimpin dan wakil rakyat dari Sarawak turut berada di Kemboja beberapa hari lalu untuk membincang­kan cara penyelesai­an bagi membebaska­n tahanan terbabit.

Dalam pada itu, ibu kepada salah seorang tahanan, Zunita Sedini sebelum ini berkata, anaknya, Yusuf Islam bersama 46 lagi rakyat Malaysia dijanjikan peluang pekerjaan dengan bayaran lumayan sehingga AS$1,500 (lebih RM6,000), namun semuanya hanya sandiwara apabila sebaik tiba di Kemboja, mereka tidak mendapat pekerjaan yang dijanjikan. – BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia