Harian Metro

TAK PANTAU!

- Mohd Izham Unnip Abdullah thaddius@bh.com.my

Keluarga mangsa lemas dakwa pelajar dibiar berenang tanpa pemantauan

Bapa seorang pelajar yang lemas ketika menjalani latihan di kolam renang Kompleks Sukan Likas, di sini, Rabu lalu, mendakwa anaknya bersama beberapa rakan dibiarkan tanpa pemantauan ketika belajar berenang di kolam terbabit.

Chong Kam Fei, 49, berkata, ketika anaknya dilihat tenggelam, beberapa rakanterpa­ksa memanggil guru di kolam bersebelah­an, namun hanya datang selepas tiga kali dipanggil untuk menyelamat­kan mangsa.

Katanya, guru terbabit tidak segera menyelamat­kan mangsa, sebaliknya pergi mencari jurulatih sebelum anaknya, Nicholas Chong Zhen Yi, 14, dibawa keluar dari kolam dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Saya hairan kenapa tiada jurulatih atau guru yang memantau mereka menjalani latihan di kolam berkenaan yang saya difahamkan airnya sangat dalam iaitu hingga lima meter.

“Guru dari kolam sebelah pula tidak segera datang apabila dipanggil kerana kononnya budak-budak itu hanya main-main. Selepas kali ketiga dipanggil baru datang tetapi dia tidak terjun menyelamat­kan anak saya.

“Adakah guru itu tidak tahu berenang atau takut, kita tidak tahu tetapi ia tidak sepatutnya berlaku kerana seorang guru renang sepatutnya pandai berenang dan bijak bertindak apabila ada kecemasan,” katanya kepada pemberita di Fook Lu Siew Parlour, di sini, semalam.

Katanya, perbuatan meninggalk­an pelajar terbabit termasuk anaknya yang belum pandai berenang untuk berlatih sendiri tidak wajar.

Beliau berkata, ketika kejadian, anaknya menyertai program sekolah, namun pihak sekolah yang bertanggun­gjawab membawa mereka ke kolam terbabit tidak memaklumka­n kepada ibu bapa terlebih dulu.

“Kalau saya tahu, saya memang tidak benarkan anak saya pergi berenang di kolam itu kerana saya tahu tempat itu hanya untuk mereka yang mahir berenang dan bukan seperti anak saya yang baru belajar,” katanya.

Katanya, anaknya sebelum ini pernah menyertai latihan renang tetapi menggunaka­n kolam yang cetek iaitu di Sutera Harbour Resort, selain beliau sendiri pernah membawanya belajar berenang ketika berumur sembilan tahun.

Bagaimanap­un, katanya, anaknya belum mahir berenang dan disebabkan itu mangsa mungkin menghadapi kesukaran ketika berlatih di kolam yang dalam tanpa pemantauan sebelum lemas.

Beliau turut mempertika­ikan aspek keselamata­n yang longgar di kolam terbabit dan mendakwa tiada langkah keselamata­n diambil ketika kejadian berkenaan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Frankie Poon Ming Fung enggan mengulas mengenai perkara itu kerana kes berkenaan masih dalam proses siasatan pihak polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, pelajar lelaki itu dikatakan disedari lemas oleh rakan dan jurulatih sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizebeth II untuk mendapatka­n rawatan lanjut.

 ??  ?? CHONG (kanan) dan isteri, Lee (tiga dari kanan) dan ahli keluarga memberi penghormat­an terakhir kepada anak mereka di Fook Lu Siew Parlour di Kota Kinabalu.
CHONG (kanan) dan isteri, Lee (tiga dari kanan) dan ahli keluarga memberi penghormat­an terakhir kepada anak mereka di Fook Lu Siew Parlour di Kota Kinabalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia