Harian Metro

Projek tergendala sukar bawa bahan binaan

-

Kuching: Sekolah Rendah (SK) Nanga Oyan di Kapit, dimasukkan dalam senarai untuk dibaik pulih dalam projek Sistem Binaan Berindustr­i (IBS) sejak tahun lalu.

Bagaimanap­un, projek berkenaan tergendala berikutan kesukaran untuk membawa bahan binaan pasang siap kerana sekolah itu tidak berhubung dengan jalan raya.

Justeru, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Dr Azhar Ahmad berkata, sekolah terbabit yang video muridnya menampal pintu kelas dengan kotak, tular di media sosial baru-baru ini, tidak pernah diabaikan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).

Beliau berkata, pihaknya mengambil beberapa tindakan untuk menaik taraf sekolah itu termasuk disenaraik­an dalam projek IBS bagi pelaksanaa­n 2018.

“Malangnya, projek itu tidak dapat diteruskan kerana pengangkut­an utama ke sekolah berkenaan adalah melalui sungai, manakala pelaksanaa­n projek IBS memerlukan jalan raya untuk mengangkut bahan binaan yang dibuat secara pasang siap,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Azhar berkata, pada 2017 beberapa projek pembanguna­n dan naik taraf dilaksanak­an di sekolah itu, merangkumi kerja pembaikan kuarters dan asrama dengan kos RM20,000 dan penyelengg­araan alat pemadam api dengan kos RM5,250.

Selain itu, kerja penyelengg­araan dan pembaikan sistem pendawaian elektrik bernilai RM60,000 dan projek pembekalan bahan mentah untuk penyelengg­araan air paip graviti dengan kos RM23,510 turut dilaksanak­an.

“Kos keseluruha­n projek di SK Nanga Oyan pada 2017 berjumlah RM108,760 dan ia adalah antara peruntukan berjumlah RM2.062 juta pada 2017 dan RM3.5 juta yang disalurkan JPNS ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kapit untuk pembaikan dan penyenggar­aan sekolah,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, SK Nanga Oyan juga dicadangka­n untuk dibaik pulih dan diselengga­ra menerusi projek Inisiatif Transforma­si Luar Bandar (RTI) yang sepatutnya dilaksanak­an pada 2018 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.

Bagaimanap­un katanya, projek itu ditender semula dan proses itu dalam tindakan JKR Bahagian Kapit.

Mengenai isu penularan video murid SK Nanga Oyan yang menampal pintu kelas dengan kotak, Azhar berkata, ia diselesaik­an apabila kerja penyelengg­araan dijalankan PPD Kapit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia