47 TAHANAN KEMBALI DARI KEMBOJA
Bekas tahanan nasihat usah mudah gelap mata tawaran kerja dengan gaji lumayan
“J
angan mudah gelap mata dengan tawaran kerja dan gaji lumayan, terutama di luar negara, selidik dulu sebelum terima, kerana sangat perit bila jadi banduan di penjara,” kata bekas tahanan penjara di Kemboja, Muhamad Daud Sharuddin, 23.
Katanya, beliau menerima tawaran kerja itu melalui aplikasi WeChat sebagai pelayan hotel dengan gaji lumayan bernilai AS$1,200 (RM4,901) sebulan.
“Sebelum ke sana, saya diminta untuk membayar AS$300 dan pada Oktober tahun lalu kami tiba di Kemboja. Sebaik tiba kami dibawa ke sebuah rumah tetapi tidak diberitahu lokasi sebenar.
“Pada hari pertama tiba di sana, mereka meminta kami menyerahkan pasport dan telefon bimbit, selain tidak boleh keluar dari rumah. Ketika itu, kami sudah berasa curiga, tetapi masih cuba bersangka baik.
“Tetapi lama kelamaan, apabila sudah terlalu lama kerana hampir dua seminggu tidak mula bekerja ada yang sudah mula memberontak dan cuba melarikan diri kerana rasa tertipu tetapi gagal.
“Hampir dua bulan kami terkurung di situ, pihak berkuasa Kemboja datang membuat serbuan dan kami ditahan seterusnya dibawa ke penjara di sana,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di sini, semalam.
Tiga lagi yang tiba bersama Muhamad Daud adalah Yeam Yoke Foong, 26, Yap yu Xiang, 25 dan Ng Shing Long, 27.
Semua mereka adalah empat daripada 47 rakyat Malaysia yang dibebaskan daripada Penjara Provinsi Banteay Meanchey, Kemboja Jumaat lalu.
Ketibaan mereka dengan penerbangan AK543 di klia2 disambut Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.
Kumpulan rakyat Malaysia yang ditahan adalah anak muda seawal usia 19 tahun hingga 44 tahun selepas dikatakan ‘termakan’ taktik licik sindiket.
Semua tahanan, termasuk 40 dari Sarawak dan tiga Sabah dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dari China.
Sementara itu, Norazian Sahudin, 48, ibu kepada Muhamad Daud menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dengan pembebasan anaknya itu.
Beliau yang dilihat menangis teresak-esak dan berlari memeluk Muhamad Daud sebaik melihat anaknya keluar daripada balai ketibaan antarabangsa klia2, mencuri perhatian media.
Jangan mudah
gelap mata dengan tawaran kerja dan gaji
lumayan
Muhamad Daud