Pilihan raya musim perang psikologi
Chukai: Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan PAS menandatangani pengakuan bertulis tidak menyokong UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, sebagaimana didakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahmad Samsuri berkata, perbincangan ketika pertemuan pimpinan tertinggi PAS dengan Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU itu hanya berkisar mengenai perjanjian meneruskan agenda memperkasa Melayu dan agama Islam.
Beliau yang turut menyertai Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dan Setiausaha Agung parti, Datuk Takiyuddin Hassan pada pertemuan itu mendakwa mereka turut membincangkan soal Wang Tunai Petroleum (WTP).
Ketika ditanya berhubung dakwaan Dr Mahathir yang mengatakan PAS tidak menyokong UMNO pada PRK DUN Semenyih, Ahmad Samsuri menyifatkan kenyataan itu sebagai satu perang psikologi parti yang bertanding dalam PRK berkenaan.
“Musim pilihan raya ini adalah perang psikologi. Kebetulan yang masuk bertanding calon parti BERSATU dan PAS tidak bertanding, jadi mungkin BERSATU mahu satu keputusan pilihan raya yang maksima.
“Saya tidak mahu komen lebih daripada itu dan PAS Pusat bermesyuarat di Kuala Lumpur petang ini. “Mungkin keputusan lanjut mengenainya dikeluarkan Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin selepas itu,” katanya selepas majlis penyampaian geran tanah kepada penduduk di sini, di Dewan Seri Amar, di sini, semalam.
Ahmad Samsuri berkata, PAS sudah membuat ketetapan dan akan terbabit bersama jentera UMNO dalam kempen PRK di Semenyih dan setakat ini tiada keputusan baharu dikeluarkan untuk parti itu tidak membantu kempen UMNO.
Ketika ditanya adakah Dr Mahathir sengaja mengada-adakan berita itu, Ahmad Samsuri berkata, beliau sangat menghormati pemimpin nombor satu negara itu.
“Saya tak nak sebut begitu kerana ini membabitkan kepemimpinan perdana menteri yang sangat saya hormati. Saya dengan Dr Mahathir sangat baik dan saya sangat menghormatinya sebagai Perdana Menteri,” katanya.