Provokasi melampau cemar proses demokrasi
di Semenyih khususnya pada waktu pagi selepas jam 10 pagi, apatah lagi masuk tengah hari membawa hingga jam 3 petang sememangnya panas dengan terik mentari sehingga terasa seolah-olah membakar kulit.
Apatah lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang secara sah bermula kelmarin, kehangatan kempennya dimulakan dengan insiden yang mencemarkan proses demokrasi di bawah Malaysia Baru apabila berlaku provokasi melampau sehingga mengakibatkan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Menteri Belia dan Sukan nyaris dibelasah pemuda Barisan Nasional (BN).
Mujur anggota polis dan Jabatan Amal PAS yang bertugas ketika itu mengawal ketat Syed Saddiq dan mengiringi beliau ke keretanya dengan selamat - beliau sendiri mengucapkan penghargaan kepada pihak berkuasa dan pasukan beruniform milik PAS itu kerana berjaya mengawal keadaan daripada menjadi buruk.
Sementara itu, Pemuda BN pula menuding jari kepada menteri muda itu yang dikatakan melakukan provokasi awal dengan sengaja pergi ke lokasi penyokong parti pembangkang itu berkumpul selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Saujana Impian, Kajang itu.
Siapa salah, siapa bercakap bohong, hanya mereka yang terbabit saja mengetahui hal sebenar.
Hakikatnya, insiden seperti itu bukan perkara baru setiap kali musim pilihan raya malah ada yang lebih buruk mencemar demokrasi dalam sejarah panjang pilihan raya negara kita.
Kerana itu di bawah Malaysia Baru kali ini, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun menegaskan pilihan raya bukan medan perang, sebaliknya ia gelanggang demokrasi yang berpaksikan Perlembagaan dan berlandaskan undang-undang.
Beliau mengajak semua parti yang bertanding supaya membuktikan kepada dunia yang rakyat Malaysia beradab dan matang berpolitik.
Soal matang dalam berpolitik ini, ia mesti dimulakan oleh pemimpin tertinggi parti.
>>Cuaca panas di Semenyih boleh ‘disejukkan’ dengan penyokong semua calon bertanding menghayati kematangan berpolitik
Gelagat penyokong parti adalah manifestasi dan cerminan sikap pemimpin mereka. Tidak dinafikan adakala pemimpin bercakap atau bersikap tertentu demi untuk kelangsungan atau kemenangan politik parti, tetapi semangat itu mesti difahami ahli dan penyokong mereka, bukan disalahertikan.
Sekiranya pucuk pimpinan parti terlebih dulu menghayati demokrasi dan kematangan dalam berpolitik, pastinya proses demokrasi negara dapat dilaksanakan dengan baik tanpa cacat cela. Keadaan akan menjadi sebaliknya jika pemimpin gagal bersikap matang.
Kerajaan atau pembangkang sekali pun mestilah saling hormat menghormati antara satu sama lain. Pembangkang menghormati kerajaan sebagai pemerintah yang dipilih rakyat manakala kerajaan bersikap sama kepada pembangkang sebagai semak dan bimbang dalam pemerintahan mereka.
Apapun, walaupun cuaca panas di Semenyih boleh ‘disejukkan’ dengan penyokong semua pihak yang bertanding iaitu PH, BN, Parti Sosialis Malaysia (PSM dan calon bebas menghayati kematangan berpolitik dan buangkan pegangan pilihan raya adalah ‘medan perang’.