Teruskan subsidi
Ketua Menteri harap Kementerian Pendidikan terus bantu demi pembelian diesel jana elektrik 21 sekolah
“Kita merayu demi kebajikan dan masa depan anak-anak kerana tanpa bekalan elektrik, mereka tidak boleh menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran dengan sempurna,” kata Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.
Ketua Menteri mengharapkan Kementerian Pendidikan meneruskan subsidi bekalan diesel untuk 21 sekolah di negeri ini yang masih bergantung kepada generator untuk menjana tenaga elektrik.
Abang Johari berkata, sekolah-sekolah terbabit kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar yang jauh daripada grid elektrik.
“Jika Kerajaan Persekutuan tetap dengan keputusan menghentikan bekalan diesel, saya berharap ada peruntukan tertentu kepada sekolah yang terjejas itu untuk membolehkan mereka mencari alternatif lain, termasuk menyambung ke grid elektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat parti itu di Jalan Bako, di sini, kelmarin.
Disember lalu, Kementerian Pendidikan memutuskan bahawa subsidi diesel untuk 21 sekolah kategori Sekolah Bantuan Kerajaan di negeri ini dihentikan mulai 1 April ini.
Subsidi bekalan diesel untuk sekolah yang menggunakan generator bermula pada 2014 dan lebih daripada 30 kontraktor dilantik untuk tempoh tiga tahun (2014-2016) dengan kontrak bernilai RM1 bilion membabitkan 297 sekolah di seluruh negeri.
Bagaimanapun, untuk tempoh 2017 hingga 2019, tanggungjawab membekalkan diesel itu dianugerahkan kepada hanya satu kontraktor, dengan nilai kontrak lebih RM1.2 bilion dan jumlah sekolah yang menerima subsidi itu pula meningkat kepada 371 sekolah.
Syarikat terbabit kini sedang berdepan dakwaan di mahkamah kerana disyaki terbabit dalam skandal penganugerahan projek membekal dan memasang panel tenaga solar kepada 369 buah sekolah di Sarawak bernilai RM1.25 bilion yang dibuat secara terus pada 2017.