Pak Cik pedofilia
Keengganan dua beradik ke kedai ibu bongkar rahsia jadi mangsa serangan seksual
Keengganan dua beradik pergi ke kedai ibunya di Jalan Sultan Omar di sini, Sabtu lalu membongkar rahsia mereka yang dipercayai menjadi mangsa serangan seksual seorang lelaki dikenali.
Menurut sumber, perbuatan suspek itu terbongkar selepas dua beradik terbabit menceritakan kejadian itu kepada ibu mereka berusia 33 tahun jam 6 petang.
Katanya, mangsa memaklumkan tidak mahu pergi ke kedai ibunya kerana tidak mahu berjumpa dengan suspek yang dikatakan selalu membuat ‘tahi’.
“Wanita terbabit yang mengesyaki sesuatu berlaku mula bertanya sebelum anak perempuannya memaklumkan kejadian menimpanya.
“Pada masa sama, anak lelakinya turut menceritakan peristiwa yang berlaku kepadanya ketika mandi.
“Malah, suspek turut mengarahkan dua beradik itu supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa termasuk ibu mangsa,” katanya.
Sumber berkata, wanita terbabit memaklumkan sudah mengenali suspek sejak lima tahun lalu dan suspek memang selalu bermain serta membawa dua anaknya berjalan-jalan.
Katanya, susulan kejadian itu, wanita terbabit membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.