Harian Metro

Saksi terkilan tak sempat ziarah

-

Shah Alam: Saksi kesembilan inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim mengakui dia terkilan kerana tidak dapat menziarahi mangsa buat kali terakhir meskipun sudah berada di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

R Narresh, 30, kru teknikal berkata, dia nekad untuk melihat Muhammad Adib buat kali terakhir pada majlis pengebumia­n mangsa selepas mengetahui berita kematianny­a di Institusi Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018, selepas 21 hari bertarung nyawa.

Menceritak­an semula kejadian, Narresh berkata, dia seorang diri ke Alor Setar, Kedah dengan menaiki kereta api dari KL Sentral dan tiba di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

“Saya pergi ke kampung itu, tetapi tidak sempat untuk melihat Muhammad Adib kerana arwah sudah dikebumika­n.

“Malah, orang kampung di situ juga pandang saya semacam,” katanya yang menempuh perjalanan selama 12 jam menaiki pengangkut­an awam termasuk kereta api dan Grab.

Narresh berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Menurut saksi itu, disebabkan dia tidak dapat berjumpa Muhammad Adib buat kali terakhir, dia memujuk rakannya S Suresh yang juga saksi kelapan inkues Muhammad Adib untuk memberikan keterangan bagi menegakkan keadilan.

“Dia hanya dapat melihat Muhammad Adib di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dan dia tidak boleh melawat mangsa di IJN kerana arwah tidak boleh menerima pelawat,” katanya.

Dalam prosiding itu juga, saksi sama turut meluahkan rasa terkilan dengan warganet yang mengecamny­a kerana menjadi saksi inkues bagi mengetahui kematian Muhammad Adib.

“Saya tidak memburukka­n mana-mana pihak apabila menjadi saksi inkues kematian Muhammad Adib.

“Saya hanya membantu dan menjalanka­n tugas sebagai rakyat Malaysia, tetapi saya menerima ancaman di media sosial daripada orang ramai berbentuk perkataan.

“Sehingga kini, ada lagi rakan yang menghubung­i saya berhubung kes ini dan saya beritahu mereka supaya menghormat­i mahkamah kerana saya adalah saksi kesembilan serta ramai lagi saksi lain,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia