PAS bohong dakwa PH khianat BERSATU
Shah Alam: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa PAS berbohong berhubung dakwaan berlaku pengkhianatan parti komponen Pakatan Harapan (PH) terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Beliau berkata, tindakan itu menggambarkan PAS semakin terdesak mencari sokongan BERSATU dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Dakwaan ini hanya naratif PAS untuk alih perhatian siasatan dana RM90 juta (daripada 1Malaysia Development Berhad).
“Apa lagi modal PAS ? Jadi, bagi PAS ialah wajib bohong dan PAS dihalalkan bohong. Sebab itu, kita tak tahu apa yang PAS cakap betul atau bohong.
“Sebabnya, PAS pernah cakap kalau mereka bohong untuk selamatkan parti tak apa, boleh bohong,” katanya selepas menyampaikan Syarahan Darul Ehsan Ke Arah Pendidikan Bersepadu Dalam Era Malaysia Baharu di Universiti Selangor (UNISEL), di sini, semalam.
Kelmarin, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, surat perakuan bertulis berbentuk contoh diserahkan PAS kepada Dr Mahathir untuk menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan Pengerusi BERSATU itu jika berlaku pengkhianatan daripada mana-mana parti komponen PH.
Takiyuddin berkata, PAS dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebelum ini menghidu seolah-olah sesuatu tidak kena bakal berlaku dalam kerajaan hari ini.
Beliau berkata, ia berikutan kenyataan Dr Mahathir sebelum ini sedia mengambil tindakan terhadap mana-mana parti komponen PH yang mengkhianati kepada negara.