Facebook dituduh ‘samseng digital’
London: Laporan Parlimen British semalam menyelar Facebook sebagai ‘samseng digital’ yang gagal memerangi penyebaran berita palsu dan melanggar privasi data penggunanya.
Siasatan 18 bulan oleh ahli Parlimen terhadap syarikat teknologi dan penyebaran maklumat salah secara sengaja itu turut menuduh platform media sosial terbesar dunia itu cuba menyembunyikan peranan Russia dalam pilihan raya negara lain.
“Syarikat seperti Facebook tidak patut dibiarkan bertindak seperti ‘samseng digital’ di dunia dalam talian atau menganggap mereka tidak dapat disentuh undang-undang,” kata laporan sepanjang 108 muka surat itu.
Susulan itu, jawatankuasa berkenaan menggesa kod etika diwajibkan untuk semua syarikat teknologi yang dipantau badan bebas di United Kingdom, selain Facebook mesti membuang ‘sumber yang mengandungi kandungan berbahaya.’
“Kami turut mencadangkan kerajaan melancarkan siasatan bebas terhadap pilihan raya terdahulu termasuk pilihan raya UK 2017 dan Referendum (berhubung Brexit) pada 2016 untuk melihat sejauh mana pengaruh luar memainkan peranan,” kata laporan itu.
Facebook diselar kerana tindak balasnya terhadap apa dikatakan penggunaan berita palsu dan iklan tertentu oleh Russia untuk mempengaruhi hasil pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2016, selain beberapa proses pemilihan di Eropah.
Pengerusi jawatankuasa Parlimen, Damian Collins berkata: “Facebook sengaja menyukarkan tugas kami apabila memberikan maklumat tidak lengkap, tidak jujur malah ada masanya mengelirukan terhadap setiap soalan kami.” - AFP