Protes turun gambar
Stadium kriket seluruh India turunkan gambar atlet Pakistan termasuk PM, bantah serangan di Kashmir minggu lalu
Stadium kriket di seluruh India menurunkan potret Perdana Menteri Pakistan yang juga kapten pasukan sukan berkenaan di negara itu, bagi memprotes kematian 44 anggota separa tentera di Kashmir, minggu lalu.
India menuding jari terhadap Pakistan bagi serangan berani mati terhadap konvoi tentera pada Khamis lalu, yang melihat New Delhi digesa rakyatnya supaya mengambil tindakan tegas terhadap negara jirannya itu.
Imran dianggap antara pemain terbaik Pakistan dan potretnya digantung di kebanyakan stadium di seluruh negara.
Namun, Kelab Kriket India di Mumbai sebuah padang di Mohali memulakan protes dengan menurunkan gambar Imran serta bintang kriket Pakistan lain.
Jurucakap Persatuan Kriket Punjab, Ajay Tyagi berkata kepada AFP: “Kami menghormati sentimen rakyat India yang marah dengan kejadian di Kashmir. Sebagai protes, kami menurunkan semua gambar pemain Pakistan.
“Semuanya disimpan di tempat selamat. Kami akan memikirkan kemudian apa yang akan dilakukan dengannya.” Tindakan itu diselar Lembaga Kriket Pakistan (PCB)
“Saya amat kesal dengan kejadian ini. Sejak dulu kami percaya dan menegaskan politik serta sukan patut dipisahkan.
“Jika dilihat sejarah, sukan terutama kriket sering memainkan peranan penting menghubungkan pelbagai rakyat dan negara,” kata pengarah urusannya Wasim Khan dalam satu kenyataan.
India menghentikan hubungan kriket dengan Pakistan selepas serangan berdarah di Mumbai pada 2008 yang turut dituduh dilakukan militan dari negara itu.
Sementara itu, semalam, empat askar terbunuh dalam serangan awal pagi di Pulwama yang dituduh India dilaksanakan Jaish-e-Muhammad iaitu kumpulan sama yang melakukan serangan Khamis lalu.