‘Selamat tinggal’
Safee akhiri teka teki, enggan bersama Perlis
Segala teka teki pemain pertama yang akan ‘cabut’ meninggalkan pasukan Perlis akhirnya terjawab apabila penyerang sensasi, Safee Sali mengesahkan tidak lagi meneruskan khidmat bersama Singa Utara.
Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dikhabarkan sudah disambar pasukan Liga Super yang berpengkalan di Lembah Klang dan keputusan yang diambil itu demi masa depannya apabila melihat Singa Utara semakin hilang arah.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Safee ketika ditemui pada sesi latihan bersama Perlis di Universiti Malaya (UM) semalam, apabila dia mengucapkan salam terakhir kepada pemain Singa Utara sebelum meninggalkan pasukan berkenaan.
Katanya, keputusan nekad meninggalkan Perlis diambil selepas berbincang dengan ahli keluarga bagi menentukan hala tuju masa depannya apabila mengalami masalah tunggakan gaji sebelum ini.
“Setakat ini saya tidak mahu mengumumkan pasukan mana yang akan diwakili namun ia berpengkalan di Lembah Klang dan keputusan itu dilakukan demi masa depan saya.
“Saya tidak boleh buat sebarang penjelasan secara terperinci, namun apa yang boleh sahkan akan bermain untuk pasukan lain sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain berakhir,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan pasukan Perlis di UM, semalam.
Sebelum itu, Perlis dihimpit pelbagai isu apabila gagal menyelesaikan tunggakan gaji hingga timbul pelbagai spekulasi bahawa pemain mereka bakal angkat kaki.
Bekas penyerang kebangsaan itu turut mengakui menerima lebih lima tawaran termasuk daripada pasukan ternama selepas mengetahui dia menghadapi masalah tunggakan gaji.
“Saya boleh katakan Safee masih lagi laku apabila ada banyak pihak termasuk pasukan Selangor, PJ City, Kelantan dan UiTM yang menyatakan minat serta kesediaan untuk mengambil saya.
“Namun, saya perlulah menghormati kontrak ketika bersama Perlis dan tidak boleh mengambil sebarang keputusan terburu-buru,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi bintang veteran Perlis, Mohd Badhri Radzi atau Piya turut memberi bayangan meninggalkan Perlis menerusi Instagram miliknya.
Piya memuat naik dua keping gambarnya ketika mewakili Kelantan lengkap dengan kapsyen yang seakan memberi bayangan sedia kembali menyarung jersi The Red Warriors.
“Mana baik jika berada di rumah sendiri dengan rumah orang lain... mana dok nyohh gi rumoh ore smetar caro teringat ko rumoh sendiri (mana tidaknya, pergi ke rumah orang sekejap, mula teringat rumah sendiri).”
Selain itu, Piya turut dilihat hadir ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bagi ‘melepaskan rindu’ menyaksikan Kelantan menentang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC), kelmarin.