3 lelaki Filipina dijel dua tahun, denda RM60,000
Tawau: Tiga lelaki warga Filipina masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah memiliki bahagian hasil haiwan daripada spesies haiwan yang dilindungi.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Bajau Laut terhadap ketigatiga tertuduh Butlayan Tabiyanan, 19, Kismaru Rismaru, 18, dan Abdul Gahni Awan, 19, dengan hukuman penjara bermula semalam.
Hakim turut memerintahkan tertuduh dipenjara setahun, jika gagal membayar denda RM60,000 setiap seorang, selepas tempoh hukuman dua tahun tamat.
Mengikut pertuduhan, tiga individu itu didakwa memiliki 12 keping sisik marginal penyu seberat
11.7 kilogram, enam keping plastron penyu (32.8kg) dan satu bahagian organ kemaluan penyu (0.3kg) spesies Penyu Hijau atau Green Turtle (Chelonia mydas), di kawasan perairan Pulau Ligitan, Semporna, pada jam 4.26 pagi 6 Februari lalu
Penyu adalah spesies haiwan yang dilindungi sepenuhnya dan disenaraikan dalam Jadual 1 Bahagian 1, No.8 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 41(4) enakmen yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 dan penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada jam 4.26 pagi, Pasukan Atur Cepat (QRF) Angkatan Tugas Bersama (ATB2) menahan sebuah perahu yang dinaiki tiga lelaki.
Setelah pemeriksaan dijalankan, tiga suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dan hasil haiwan disyaki bahagian organ penyu yang sudah dipotong selain beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk membunuh penyu.
Hakim Awang Kerisnada dalam penghakimannya menegaskan hukuman keras yang dijatuhkan terhadap ketiga-tiga tertuduh wajar kerana aktiviti memburu dan membunuh penyu membabitkan kepentingan awam.
Selain itu katanya, penyelidikan yang dilakukan beberapa pihak seperti Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF), mendapati beberapa spesies penyu diancam kepupusan disebabkan tindakan manusia yang memburu dan membunuh penyu, termasuk ada juga individu yang memelihara penyu tanpa kebenaran.
“Sekiranya tiada tindakan tegas untuk menghalang kepupusan ini, dikhuatiri spesies penyu tidak lagi mahu kembali ke beberapa tempat tertentu termasuk untuk bertelur selain sebagai tarikan pelancongan.
“Justeru tidak munasabah mempercayai alasan tertuduh yang tidak mengetahui bahawa tindakan mereka (memburu dan membunuh) salah kerana sebelum ini ada beberapa kes seperti ini dan sudah dihukum oleh mahkamah,” katanya
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Hidupan Liar, Silvester Saimin manakala ketigatiga tertuduh tidak diwakili peguam.