Hasil ‘rundingan senyap’
Pendekatan diplomasi berjaya bawa pulang 40 anak Sarawak ditahan di Kemboja
Kejayaan Sarawak membebaskan dan membawa pulang 40 daripada 47 tahanan warga Malaysia yang berasal dari negeri ini di Kemboja adalah hasil ‘rundingan senyap’ dilaksanakan kerajaan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, kerajaan negeri sengaja memilih cara itu kerana yakin ia terbaik dalam menangani isu berkenaan bersandarkan prinsip kemanusiaan dan diplomasi.
“Kita juga tidak mahu sebarang publisiti sebelum ini kerana bimbang ia mengganggu proses rundingan dijalankan dengan bantuan Wisma Putra melalui wakil kedutaan di sana.
“Malah, kerajaan negeri juga menanggung kos perjalanan pulang Anak Sarawak ke negeri ini selepas mereka berjaya dilepaskan daripada tahanan di Kemboja,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Ramah Tamah Tahun Baharu Cina 2019 anjuran Persatuan Ketua Masyarakat Kaum Cina Bahagian Sri Aman, di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.
Abang Johari berkata, kejayaan pembebasan itu jelas memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai usaha bagi membantu segenap lapisan rakyat.
Sementara itu, Kerajaan Sarawak akan terus mempertahankan hak autonominya terhadap kuasa imigresen di negeri ini.
“Kuasa imigresen berkenaan perlu dipertahankan bagi menghalang kemasukan ekstremis yang boleh merosakkan keamanan negeri ini.
“Ini sudah saya tegaskan sendiri kepada Perdana Menteri kerana saya tidak mahu keamanan Sarawak dirosakkan oleh kemasukan ekstremis dari luar.