Harian Metro

Lelaki warga emas ditahan

-

Polis menahan seorang lelaki warga emas yang didakwa menghina Nabi Muhamad dan isteri Baginda di laman sosial Facebook di rumahnya di Mentakab, Temerloh, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad ketika dihubungi berkata, suspek lelaki berusia 68 tahun itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO) sejak kelmarin.

Difahamkan, suspek ditahan jam 11.30 pagi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk tindakan lanjut.

“Ya kita sudah tahan. Dia akan diserahkan kepada IPD Batu Pahat untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, suspek diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Polis Kuala Lumpur menerima 19 laporan berhubung kes seorang pemilik akaun Facebook yang memuat naik gambar berbentuk penghinaan berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kertas siasatan berhubung kes terbabit sudah dibuka oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Sehingga kini IPK Kuala Lumpur menerima 19 laporan berhubung kes berkenaan. Laporan sama turut dilakukan pelbagai pihak di seluruh negeri.

“Kertas siasatan dibuka di (IPD) Batu Pahat di bawah IPK Johor dan kita serahkan kepada mereka,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia