Harian Metro

Air mata Danial Haqim

-

air mata Danial Haqim Draman sejurus tamat aksi menentang Kemboja jelas menggambar­kan seribu penyesalan buat tonggak tengah skuad bawah 22 (B-22) tahun negara itu apabila layangan dua kad kuning yang diterimany­a menyaksika­n Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua.

Lebih malang, selepas tiga minit dia diperintah­kan keluar padang, Kemboja berjaya meraih gol menerusi sepakan percuma Sath Rosib dari tengah padang yang terus menerjah jaring pada minit ke-62, sekali gus menghadiah­kan kemenangan 1-0 di Stadium Olimpik, Phnom Penh, di sini malam kelmarin.

Jelas Danial yang kali pertama diberi tanggungja­wab memikul tugas di posisi tengah itu, dia tidak menyangka dilayangka­n kad kuning kedua kerana tidak sengaja mengasari pemain tuan rumah itu.

Malah, dia menangis ketika diperintah keluar padang oleh pengadil dari Vietnam, Nguyen Hien Triet kerana menyedari rakan sepasukann­ya bakal berdepan tugas berat untuk bertahan dengan beraksi 10 pemain.

“Saya rasa kecewa sebab kena kad merah. Saya rasa tak dapat bantu pasukan,” katanya yang turut menitiskan air mata ketika ditemubual Arena Metro sejurus tamat aksi pertama Kumpulan B saingan Piala LG B-22 AFF itu.

Selain itu, pemain muda pasukan Kelantan itu berharap semua pemain dapat memberi fokus terbaik bagi menjayakan misi wajib menang ke atas Indonesia pada aksi kedua petang ini bagi membuka kembali peluang skuad negara mengintai dua slot terbaik ke separuh akhir.

“Ini pengalaman berguna untuk saya bangkit pada perlawanan akan datang dan tingkatkan prestasi. Insya-Allah rakan-rakan akan bangkit pada perlawanan berikutnya selepas ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia