Harian Metro

Menteri kecewa sikap tak patriotik kelab

- Meor Riduwan Meor Ahmad mriduwan@hmetro.com.my

“Tolonglah, beri keutamaan kepada mewakili negara terlebih dulu”

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Kekalahan memalukan 0-1 skuad bawah 22 (B-22) kepada tuan rumah, Kemboja pada aksi sulung saingan Piala LG B-22 AFF turut dikongsi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatka­n ia agak mengecewak­an.

Apatah lagi, kegagalan itu turut dikaitkan kehampaan pengendali skuad itu, Datuk Ong Kim Swee untuk mendapatka­n khidmat empat tonggak tengah dan seorang bintang pertahanan yang tidak dilepaskan oleh kelab masing-masing hingga gagal membentuk pasukan mantap.

Trend ketiadaan pemain berkaliber menyarung jersi kebangsaan ini amat membimbang­kan, apatah lagi skuad Harimau Malaya misalnya bakal menghadapi beberapa kejohanan antarabang­sa termasuk Kejohanan Piala Empat Negara bulan depan dan kelayakan Piala Dunia 2022.

Mengulas perkara itu, Syed Saddiq menegaskan walaupun Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) tiada hak campur tangan, beliau menasihati supaya keutamaan diberikan untuk mewakili negara.

“Saya agak kecewa secara jujurnya dan sudah luahkan kekecewaan saya itu sebelum ini. Sepatutnya apabila bab mewakili negara, ia diberi fokus sama, tetapi malangnya apabila sampai pada isu nasionalis­me, maruah negara ia di kebelakang­kan sepertinya tidak penting.

“Nasihat saya kepada persatuan di peringkat negeri, tolonglah, beri keutamaan kepada mewakili negara terlebih dulu,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Penghargaa­n Kepada Ahli Parlimen Belia Malaysia 2017-2018 dan Sesi Townhall Parlimen Belia Malaysia semalam.

Beliau berkata, jika skuad kebangsaan mencapai kejayaan, pengiktira­fan bukan saja kepada negara malah semua pasukan dan pemain yang bermain di peringkat negeri.

“Saya tidak boleh paksa tapi nasihat sekeras-kerasnya. Harap perkara ini tidak berulang,” katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan skuad bawah 22 tahun negara menerima tamparan hebat apabila gagal mendapatka­n khidmat empat tonggak tengah yang tidak dilepaskan kelab masing-masing iaitu Muhammad Daniel Amier Norhisham (Felda United), Muhammad Zahril Azri Zabri (Felda United), Muhammad Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam (Kedah), selain bek kanan Selangor, Syahmi Safari.

Selain itu, Kim Swee juga tidak memanggil dua bintang yang beraksi untuk JDT, Safawi Rashid dan Akhyar Rashid.

Kegagalan meraih sebarang mata dalam aksi pertama Kumpulan B saingan Piala LG B-22 AFF di Stadium Olimpik, Phnom Penh malam kelmarin bakal menyempitk­an laluan negara ke pusingan kalah mati.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia