Harian Metro

Kekasih gian

 Wanita, teman lelaki dicekup di Port Loji bersama 21 lelaki disyaki penagih

- Zuliaty Zulkiffli cnews@nstp.com.my

Seorang wanita sanggup menghabisk­an masa berulang-alik dengan teman lelakinya bermotosik­al dari rumahnya di Bukit Jenun ke Port Loji sejauh satu kilometer setiap hari semata-mata untuk melepaskan gian menagih dadah.

Namun, kegiatan wanita berusia 24 tahun itu terbongkar apabila dia dicekup polis bersama teman lelakinya itu yang berusia 39 tahun serta 21 lagi lelaki disyaki penagih yang menjadikan kawasan ladang sawit itu sebagai port dadah.

Kawasan itu diserbu polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pendang dalam Op Tapis Bersepadu dalam kebun sawit itu yang bermula jam 6 pagi hingga 2 petang, semalam.

Wanita itu turut dikehendak­i AADK Pendang sejak lebih setahun lalu kerana tidak menghadirk­an diri selepas dijamin pegawai AADK ketika ditahan kerana menagih dadah pada 2017.

Dia bekerja sebagai tukang cuci dari rumah ke rumah dengan upah RM30 sehari. Wang itu digunakann­ya untuk membeli dadah dua kali sehari iaitu heroin dan morfin, malah mengakui menagih dadah sejak dua tahun lalu.

Selain itu, bekas tentera berusia 36 tahun turut ditahan kerana positif dadah morfin dan sering melepaskan gian di kawasan itu.

Dia diberhenti­kan kerja dari kem tentera di Lumut, Perak pada 2010 kerana kes ganja, namun gagal berhenti menagih sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superinten­dan Arriz Sham Hamezah berkata, port itu dipercayai beroperasi sejak lebih sebulan lalu dan menjadi tempat tokan menghantar stok dadah kepada penagih.

Beliau berkata, dalam operasi itu, seramai 23 orang disyaki penagih dadah berusia 24 hingga 49 tahun ditahan ketika melepaskan gian menagih dadah di situ pada awal pagi.

Kebanyakan penagih yang ditahan berasal dari daerah ini, malah ada yang berasal dari Sedaka di Yan dan Langkawi.

“Semua mereka dibawa ke IPD Pendang untuk tindakan lanjut dan enam daripada mereka diserahkan kepada pihak kami untuk tindakan lanjut manakala 17 lagi termasuk wanita itu diserahkan kepada AADK Pendang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 kerana disyaki penagih Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua mereka positif morfin.

 ??  ?? SEBAHAGIAN 23 penagih dadah yang ditahan dalam Op Tapis Bersepadu dalam kebun sawit.
SEBAHAGIAN 23 penagih dadah yang ditahan dalam Op Tapis Bersepadu dalam kebun sawit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia