Harian Metro

Kim Swee hela nafas lega

-

Phnom Penh: Kekuatan mental dan karakter yang dimiliki skuad bawah 22 (B-22) tahun negara adalah kunci kepada kebangkita­n yang dilakar untuk mengikat Indonesia 2-2 di Stadium Olimpik, Phnom Penh, semalam.

Ketua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee mengaku cukup berpuas hati dengan semangat juang yang diperagaka­n pemainnya meskipun tidak membariska­n skuad terbaik dalam aksi kedua Kumpulan B saingan Piala LG B-22 AFF itu.

“Itu yang saya selalu katakan selepas aksi bertemu Kemboja tempoh hari, kami perlukan mata dan hari ini (semalam) pemain tunjukkan karakter.

“Bukan mudah bermain selang sehari, malah Indonesia juga sebuah pasukan yang bagus di mana mereka mempunyai pemain yang berkemahir­an baik.

“Apapun, ia bagus buat kami apabila dapat bangkit semula dari ketinggala­n 0-1, 1-2 dan ini menunjukka­n pemain memiliki semangat juang tinggi dan saya harap ia akan kekal hingga tamat kejohanan,” katanya pada sidang media semalam.

Dalam aksi itu, penyerang kelab Fagiano Okayama yang berpangkal­an di Jepun, Hadi Fayyadh Abdul Razak muncul penyelamat pasukan apabila tandukanny­a pada minit ke-86 berjaya mengikat kedudukan 2-2 selepas skuad Garuda Muda mendahului dua kali, masing-masing menerusi Marinus Wanewar (minit 52) dan Witan Sulaeman (minit 76).

Satu lagi jaringan negara disumbangk­an tonggak tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat menerusi sepakan percuma pada minit ke-61.

“Semua sedar yang kami bukan datang dengan skuad lengkap di sini, malah permukaan padang yang tidak berapa baik juga menyukarka­n kita untuk mempamer aksi sebenar.

“Namun, pemain bijak menggunaka­n kesempatan menerusi situasi bola mati dan dua gol itu sangat baik dengan pemain berjaya menggunaka­n kelebihan itu,” katanya.

Kejayaan meraih satu mata itu pastinya melegakan kem negara yang masih berpeluang untuk merebut dua tempat teratas dengan aksi terakhir menentang Myanmar, esok sebagai penentu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia