Harian Metro

‘Tiada dendam, kami dah maafkan’

-

Georgetown: Walaupun nyawa anaknya melayang tetapi pasangan suami isteri yang juga ibu bapa kepada Annur Sumayyah Syabandi, 3, yang meninggal dunia selepas dilanggar kereta di Rumah Transit Uda, Tanjong Tokong di sini, kelmarin memaafkan rakannya yang memandu kenderaan terbabit.

“Walaupun kejadian itu menyebabka­n kami kehilangan anak tetapi saya dan suami tetap maafkannya (pemandu) dan tiada langsung perasaan dendam dalam diri terhadapny­a,” kata Nur Daliia Yusoff, 28, ibu kepada Annur Sumayyah.

Menurutnya, dia menganggap kejadian yang menimpa mereka sekeluarga itu sebagai ketentuan daripada Allah SWT.

“Kereta itu dipandu rakan baik saya sendiri yang dikenali sejak tujuh tahun lalu ketika kami bersama-sama bekerja di pasar raya di sini.

“Walaupun saya terpaksa berhenti kerja di pasar raya itu sebelum ini kerana perlu mengikut suami yang bertugas di Kuching, Sarawak tetapi persahabat­an kami tidak pernah terputus,” katanya.

Menurutnya, rakannya itu datang dan bermalam di rumahnya kelmarin (Selasa) dan ketika kejadian berlaku dia menghidupk­an enjin kereta kerana mahu ke tempat kerjanya.

“Rakan yang terkejut dengan kejadian itu terus turun daripada keretanya dan berulang-kali meminta maaf kepada saya sambil menangis,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami, Syabandi Samsudin, 29, dari awal sudah memaafkan rakannya itu dan mereka berdua langsung tidak menyimpan dendam kepadanya.

“Apa yang saya tahu kini rakan ditahan buat sementara waktu untuk diambil keterangan dan saya juga enggan mengganggu­nya kerana mungkin dia masih trauma dengan kejadian itu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia