Harian Metro

Kanak-kanak ditemui tergantung

-

Kebimbanga­n seorang ibu apabila panggilan telefonnya tidak dijawab anak perempuann­ya yang berusia 11 tahun berakhir apabila kanak-kanak itu ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan tergantung pada jeriji besi rumah mereka di Bandar Puteri Jaya di sini, dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Bagaimanap­un, kanak-kanak itu yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini.

Kejadian disedari oleh ibu kanak-kanak terbabit yang mahu dikenali sebagai Selvarani, 35, selepas pulang kerja kira-kira jam 8.30 malam.

Ketika itu, Selvarani berkata, anak sulung daripada dua beradik itu tinggal seorang diri di rumah kerana bapanya tinggal di Pulau Pinang manakala adik lelakinya berada di rumah nenek mereka di kawasan berhampira­n.

“Sudah menjadi kebiasaan dia tinggal seorang diri setiap hujung minggu ketika saya keluar bekerja, namun saya akan berpesan pada jiran untuk tengok-tengok dia.

“Pagi itu sebelum saya ke tempat kerja, saya ada ajak dia pergi rumah neneknya, bimbang juga dia duduk seorang diri di rumah tapi dia tak mahu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Selvarani berkata, seperti biasa dia akan buat panggilan setiap setengah jam untuk memantau aktiviti anaknya itu dan memastikan dia selamat.

“Kali terakhir saya dapat bercakap dengannya pada jam 5.12 petang, saya tanya buat apa dan dia cakap mahu tidur sebelum putuskan talian.

“Pada jam 6.45 petang, sekali lagi saya telefon dia, tetapi panggilan itu tidak dapat dihubungi.

“Disebabkan bimbang keadaannya, saya terus telefon jiran minta tolong tengokkan anak saya, jiran kata mereka panggil tapi anak saya tidak menyahut dan menyangkak­an dia masih lagi tidur,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut apabila melihat keadaan rumahnya dalam keadaan gelap gelita sebelum menemui anak perempuann­ya dalam keadaan tergantung sejurus pulang kerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa dipercayai menggantun­gkan dirinya menggunaka­n kain batik yang diikat di jeriji besi rumah mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia