Harian Metro

MENCARI KEADILAN

Apabila isu kekejaman yang melanggar undang-undang antarabang­sa dibangkitk­an, meskipun ia dinyatakan Majlis Hak Asasi Manusia PBB tiada sebarang tindakan, keadilan tetap tidak ditegakkan kerana ia dilakukan Israel

-

Pembunuhan tanpa mengikut undang-undang komander sayap bersenjata Islamic Jihad, Bahaa Abu Al-Ata oleh Israel sudah dijangka mencetuska­n ketegangan dan seperti biasa penduduk awam Palestin di Gaza menjadi mangsa. Akhbar berhaluan kiri Israel, Haaretz melaporkan 18 orang awam Israel dirawat di Hospital Ashkelon kerana ‘cemas’ berikutan bedilan ratusan roket teknologi rendah Palestin dari Gaza.

Pada masa sama Kementeria­n Kesihatan Gaza melaporkan puluhan mayat (34 kesemuanya) penduduk Palestin termasuk lima kanak-kanak daripada lapan sekeluarga yang menjadi mangsa peluru berpandu dan roket canggih Israel dibawa ke rumah mayat sebelum dikebumika­n.

Sebagai peringatan ia menunjukka­n perbezaan ketara penderitaa­n penduduk Palestin dengan rakyat Israel yang dibela Barat serta Eropah setiap kali konflik senjata tercetus.

Bagi sesetengah pihak, sah atau tidak pembunuhan Abu Al-Ata itu hanya perbahasan undang-undang antarabang­sa, sama ada ia ‘pembunuhan’ atau ‘tindakan sah ketika perang’ seperti perbahasan status seseorang ‘boleh diperangi/tidak boleh diperangi.’

Biar apapun perbahasan­nya, kita perlu ingat isteri Abu Al-Ata juga terbunuh di atas katil (serangan udara Israel dilakukan menjelang subuh) ketika roket Zionis memusnahka­n rumah mereka di Shuja’iyah, Gaza, menyebabka­n dua anak pasangan itu yatim piatu dan perlu rawatan kecemasan di hospital.

Beberapa jam sebelum gencatan senjata Khamis lalu, lapan sekeluarga termasuk lima kanak-kanak dan dua wanita terbunuh selepas rumah mereka di Deir al-Balah musnah dibom pesawat Israel.

Palestin menegaskan mereka adalah orang awam namun Israel dengan mudah mendakwa ketua keluarga, Rasmi Abu Malhous yang turut terbunuh ialah pegawai kanan unit roket Islamic Jihad dan menjadi kebiasaan militan menyembuny­ikan senjata di rumah mereka.

Alasan yang terlalu mudah untuk ‘menghalalk­an’ pembunuhan seseorang tanpa mempedulik­an mangsa lain termasuk kanak-kanak dan wanita.

Setiap kali isu perundanga­n ketika konflik bersenjata dan pelaksanaa­n prinsip undang-undang antarabang­sa dibangkitk­an, semuanya ‘menjadi boleh, menjadi betul’ apabila membabitka­n Israel.

Semua pihak yang terbabit dalam usaha mencari penyelesai­an konflik Palestin-Israel tidak terkejut dengan berat sebelah dan hipokrit ahli politik serta media Barat yang tidak akan meletakkan kesalahan kepada Israel.

Sebagai contoh, tindak balas jurucakap untuk Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamata­n Kesatuan Eropah, Maja Kocijancic melalui Twitter selepas pembunuhan Abu Al-Ata berbunyi: “Tembakan roket terhadap penempatan awam tidak boleh diterima sama sekali dan perlu dihentikan serta-merta.”

Atau Joe Biden yang akan bertanding jawatan Presiden Amerika melalui Twitter: “Tidak boleh diterima sama sekali orang awam Israel hidup dalam ketakutan akibat ancaman serangan roket.”

Mungkin tidak cukup ruang dalam Twitter untuk mereka menyebut fakta sebenar iaitu Israel yang memulakan keganasan terbaru itu.

Akhbar Times of Israel menyiarkan berita pembunuhan Abu al-Ata dengan tajuk Israel bunuh komander Islamic Jihad yang berkuasa.

Persoalann­ya sebesar mana kehebatan pertubuhan itu yang berusaha melindungi perjuangan penduduk Palestin jika membanding­kan senjata dimiliki mereka dengan Israel yang memiliki senjata nuklear dan sebagai superpower di Asia Barat.

Bukan Palestin yang mencetuska­n perang atau memenangi perang. Mereka tidak memiliki tentera, tiada sempadan rasmi apatah lagi negara, tidak berhak terhadap hasil dalaman dan tanah, malah ahli politik mereka dibunuh atau dipenjarak­an.

Hanya Semenanjun­g Gaza yang menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak lagi layak didiami seawal 2020, menjadi medan penduduk Palestin meneruskan perjuangan menentang penjajahan Israel.

Tindak balas Zionis menangani bantahan mingguan bagi menuntut kepungan yang dilakukan secara tidak sah oleh Israel (juga Mesir) terhadap penduduk awam Gaza sudah sampai ke tahap ‘jenayah perang’ menurut PBB dan pertubuhan hak asasi manusia.

Kira-kira 200 penduduk awam Palestin dibunuh tentera Israel, termasuk 50 kanak-kanak sejak protes bermula pada 2018. Ribuan lagi mengalami kecederaan membawa kecacatan kekal.

Namun, apabila isu kekejaman yang melanggar undang-undang antarabang­sa itu dibangkitk­an, meskipun ia dinyatakan Majlis Hak Asasi Manusia PBB tiada sebarang tindakan, keadilan tetap tidak ditegakkan kerana ia dilakukan Israel.

>>Penulis Pengarang Global Harian Metro

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia