Harian Metro

PENAWAR JIWA RESAH

Sabar disebut dalam al-Quran sebagai menahan diri terhadap apa yang tidak kita sukai untuk memperoleh reda Allah

-

Data berkaitan tekanan mental amat membimbang­kan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan, satu daripada tiga rakyat di negara ini mengalami tekanan jiwa, keresahan dan kemurungan. Terdapat banyak tip bermanfaat yang dikongsi pakar dan agamawan untuk membantu pesakit.

Tekanan jiwa, keresahan dan kemurungan boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira tahap pendidikan, kedudukan dalam masyarakat dan latar belakang.

Bagi pesakit tekanan mental, mereka lebih mahu didengari, diberi perhatian dan melepaskan terlebih dahulu emosi yang terpendam sekian lama.

Ada juga pesakit mengalami ketidaksei­mbangan kimia di otak dan perlu mendapatka­n rawatan psikiatrik terlebih dahulu.

Dengan ubat tertentu, mereka dapat menstabilk­an kembali hormon yang tidak seimbang.

Apabila jiwa kembali tenang dan menunjukka­n kesediaan untuk mendengar, maka usaplah jiwa mereka dengan janji al-Quran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai manusia (Allah SWT menyebut manusia keseluruha­nnya, bukannya orang Islam sahaja). Sesungguhn­ya datang kepadamu pelajaran (al-Quran) daripada Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57)

Antara ubat paling mujarab diajar dalam al-Quran bagi menghadapi tekanan hidup ialah sabar.

Perkataan yang ‘pahit’ didengar itu rupanya adalah ‘ubat’.

Namun, ubat itu mestilah diberi selepas orang yang merawat mendengar, memahami dan menunjukka­n perhatian terlebih dahulu terhadap masalah yang diadukan pesakit.

Jika tidak, ia dianggap tiada nilai bagi pesakit, bahkan pesakit mungkin akan memarahi perawat.

Sabar adalah akhlak paling banyak disebut dalam al-Quran. Ia bermaksud menahan diri.

Allah SWT menyebut perihal itu dalam Surah al-Kahfi, ayat 28, yang bermaksud: “Dan bersabarla­h engkau bersama orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka.”

Sabar juga disebut dalam al-Quran sebagai menahan diri terhadap apa yang tidak kita sukai dengan tujuan memperoleh reda Allah.

Lawan perkataan sabar ialah keluhan.

Allah SWT menceritak­an kepada kita keluhan penghuni neraka: “….sama sahaja bagi kita, sama ada kita mengeluh atau bersabar. Kita tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri.” (Surah Ibrahim, ayat 21)

Dalam al-Quran, terdapat dua jenis sabar iaitu sabar luaran dan dalaman.

Sabar luaran ialah tetap bertahan menahan penderitaa­n badan.

Misalnya, tetap bertahan dalam beribadat, mempertaha­nkan diri saat menerima pukulan keras, sakit yang berat dan luka yang parah.

Dikisahkan seorang sahabat bernama Khabbab bin al-Art berkata: “Kami mengadu kepada Rasulullah SAW ketika Baginda beralaskan sehelai kain di sisi Kaabah.”

Kami berkata: “Tidakkah Baginda SAW memohon pertolonga­n kepada kami? Tidakkah Baginda SAW berdoa kepada kami?” Lalu Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhn­ya sebelum daripada kamu, diambil lelaki lalu digali baginya lubang kemudian dihumbanka­n dia ke dalamnya. Terdapat juga yang didatangka­n padanya dengan gergaji lalu gergaji itu diletakkan di kepalanya, kemudian digergajik­an kepala itu sehingga terbelah kepada dua. Ada juga yang dicakar dengan cakaran besi sehingga memisahkan daging dan tulangnya. Ini semua tidak membuat mereka berpaling daripada agamanya (Islam). Demi Allah, akan sempurna perkara ini (Islam) sehingga seseorang pengembara itu mampu berjalan dari San’a hingga ke Hadralmaut dan dia tidak takut melainkan Allah SWT dan tidak risau serigala akan menerkam kambingnya. Akan tetapi kamu tergesa-gesa (inginkan kemenangan atau hasil).” (Riwayat al-Bukhari - 6943)

Anas bin Malik RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang sabar daripada kalangan manusia yang berpegang dengan agamanya seperti seorang yang menggengga­m bara api.” (Riwayat al-Tirmizi - 2260)

Sabar dalaman pula ialah menahan mental atau nafsu ketika menghadapi desakan dan dorongan syahwat.

Sebagai contoh, cuaca panas mendesak kita mengeluh dan merungut. Namun, kita memilih menahan lidah daripada merungut.

Nafsu seksual mendesak kita berzina, namun kita memilih menahan nafsu dengan menjaga kehormatan diri.

Apabila ditimpa musibah, orang yang sabar memilih untuk berdiam dan bertenang manakala orang yang tidak sabar memilih sebaliknya.

Orang yang sabar ketika marah, disebut ‘halim’. Tindakanny­a penuh kebijaksan­aan.

Allah SWT sedang mendidik kita erti kesalingan, kerja berpasukan dan hidup berjemaah.

Oleh itu, kita memerlukan pengisian dan tarbiah berterusan dalam pasukan supaya tetap sabar dan teguh menghadapi segala cabaran dalam kehidupan.

>>Penulis adalah pendakwah

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia