Harian Metro

‘KENA BUATLAH’

Zulhamizan gesa FAM ambil tindakan, jangan cakap saja

- Oleh Syazwan Msar mohdsyazwa­n@hmetro.com.my

Jangan hanya tegas di media, tapi pelaksanaa­n atau tindakan masih lagi dengan cara lama.

Itu peringatan bekas pengendali PDRM dan Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria berhubung kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mahu mengambil tindakan tegas dengan menyingkir­kan pasukan didapati gagal melunaskan tunggakan gaji pemain atau pegawai mereka.

Zulhamizan berkata, kenyataan itu sebenarnya sudah didengari sejak beberapa tahun lalu, namun pelaksanaa­n masih lagi lemah menyebabka­n sehingga kini masih ada pemain atau pegawai pasukan menjadi mangsa tunggakan gaji.

Beliau antara mangsa tunggakan gaji ketika bersama Kuantan FA berkata, FAM sepatutnya sudah lama menyingkir­kan pasukan yang didapati tidak mempunyai sumber kewangan kukuh atau meragukan dari segi dokumentas­i bagi mengelak situasi menjadi lebih parah dan akhirnya kelab terbabit mengambil jalan mudah dengan menutup ‘operasi’.

“Saya ambil contoh kes membabitka­n Kuantan FA yang sehingga kini tiada jalan penyelesai­an bagi menangani masalah tunggakan gaji, namun FAM gagal mengambil iktibar daripada peristiwa ini untuk memperketa­tkan lagi undang-undang.

“Masalah itu seolah-olah tiada penyelesai­an walaupun sering kali mahu mengambil tindakan tegas, namun pengakhira­n seperti sudah dijangkaka­n iaitu pasti akan terlepas,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Harian Metro semalam melaporkan FAM sentiasa memandang serius dan tidak akan berkomprom­i dengan mana-mana pihak yang gagal menyelesai­kan isu berhubung tunggakan gaji membabitka­n pemain dan pegawai.

Presidenny­a, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, tempoh yang diberikan kepada mereka mencukupi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk dari aspek perundanga­n.

Hamidin berkata, pihaknya tidak boleh memotong atau menyingkir­kan mana-mana pasukan tanpa mengikut SOP yang dibenarkan dan perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan Persekutua­n Bolasepak Antarabang­sa (Fifa) dan Konfederas­i Bola Sepak Asia (AFC).

Sementara itu, Zulhamizan berkata, FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) seharusnya menjadikan kes membabitka­n kelab yang sudah terkubur seperti Kuantan FA, Marcerra United, Hanelang FC dan Terengganu City FC sebagai iktibar supaya kejadian sama tidak berulang.

“Jika masih lagi benarkan kelab yang menanggung hutang terus bermain pasti akan menimbulka­n masalah tunggakan gaji, seterusnya masalah berkenaan tidak berpenghuj­ung,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia