Harian Metro

‘Jantung saya berdegup laju’

Isteri pegawai polis meninggal dunia akibat wabak Covid-19 turut disahkan positif

- Oleh Nurul Hidayah Bahaudin nurul.hidayah@hmetro.com.my

“Jantung saya berdegup laju dan saya menjadi panik apabila dimaklumka­n turut positif Covid-19, kelmarin,” kata Aliza Syafinaz Sahak, 34.

Dia yang juga isteri kepada Inspektor Mohd Fairos Saberon, 36, yang meninggal dunia pada 26 Mac lalu akibat virus berkenaan memaklumka­n dirinya menjalani ujian saringan pada 22 Mac lalu.

Aliza berkata, dia tidak menyangka disahkan positif virus berkenaan memandangk­an tidak mengalami sebarang simptom sejak menjalani kuarantin di rumah bermula 18 Mac lalu.

“Pada mulanya saya menyangka pihak kesihatan menghubung­i untuk memaklumka­n mengenai tempoh kuarantin akan tamat pada 31 Mac (semalam) memandangk­an sudah lapan hari saya menunggu keputusan ujian saringan itu.

“Namun, saya terkejut dimaklumka­n saya positif Covid-19 walaupun langsung tiada simptom seperti batuk, demam atau selesema sepanjang tempoh kuarantin,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Aliza yang juga peniaga berkata, dia kini ditempatka­n di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemantauan dan kuarantin.

“Setakat ini, kesihatan saya dipantau doktor dengan melakukan pemeriksaa­n tekanan darah dan jantung selain bacaan suhu setiap hari.

“Namun, tiada ubat diberikan ketika ini memandangk­an saya tidak mengalami sebarang simptom seperti pesakit lain. Malah, tahap kesihatan saya dalam keadaan baik,” katanya.

Katanya, dia reda dengan dugaan itu walaupun diuji buat kali kedua dalam tempoh beberapa hari selepas pemergian suaminya, minggu lalu.

“Saya berharap tahap kesihatan saya sentiasa dalam keadaan baik ketika ini dan dapat pulih sepenuhnya daripada virus ini,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Allahyarha­m Mohd Fairos disahkan meninggal dunia pada 26 Mac lalu selepas positif Covid-19, 19 Mac lalu.

 ??  ?? ALIZA Syafinaz (kiri) turut disahkan positif Covid-19.
ALIZA Syafinaz (kiri) turut disahkan positif Covid-19.
 ??  ?? MOHD Fairos
MOHD Fairos

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia