Harian Metro

Jaga mulut badan tak binasa

-

elepas melepasi fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berada pada fasa kedua, kita mengharapk­an situasi negara kita dan dunia amnya bertambah baik. Sepanjang tempoh ini kita melihat bagaimana ada insan yang terpaksa berpisah dan ada yang menerima rawatan dan ada juga sudah pergi meninggalk­an kita. Semoga Allah merahmati kita semua.

Dalam menghadapi wabak ini, kita sudah diberikan peringatan untuk menutup mulut dan sentiasa mencuci tangan. Mulut perlu menggunaka­n topeng untuk mencegah jangkitan daripada luar. Begitu juga jika dikenal pasti sebagai pembawa pula, maka memakai topeng mengelakka­n risiko tersebarny­a virus kepada orang di sekeliling. Hakikatnya, mulut kita bukan sahaja mampu menjadi pintu masuk kepada penyakit, tetapi juga boleh menjadi punca kepada masalah sosial atau penyakit sosial.

Fakta perubatan juga menyokong tindakan ini kerana menjaga kebersihan mulut secara fizikalnya amat baik untuk kesihatan. Dalam laman web Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) menyebut bahawa penjagaan oral atau mulut amat penting untuk menjamin keselesaan, meredakan kesakitan dan mencegah jangkitan. Justeru itu, amat penting seseorang itu menilai dan mengenal pasti sekiranya terdapat kesakitan atau tanda-tanda yang tidak normal di dalam mulut dari semasa ke semasa untuk menghalang penyakit daripada melarat dan ketidaksel­esaan.

Dari sudut kesihatan juga, penjagaan mulut meliputi anggota lain yang terdapat di dalam mulut seperti gigi, lidah dan gusi. Bahkan mulut juga pintu masuk sebarang objek dalam perut manusia. Sebelum sesuatu benda itu masuk dalam perut, mulut memainkan peranan yang besar sama untuk menerima atau menolak sesuatu yang datang dari luar. Justeru itu, jika objek itu tidak baik kepada fizikal manusia, mulut pasti mendapat kesannya terlebih dahulu. Contohnya makanan yang manis boleh merosakkan gigi. Bahkan apabila kandungan gula berlebihan, struktur fizikal juga mendapat penyakit seperti kencing manis.

Mulut sebagai satu anugerah Allah adalah satu nikmat. Melalui mulut, kita makan dan minum, bertutur, ketawa, menyanyi dan menyedut udara. Secara lahiriah, mulut yang sihat menjadikan kita selera makan dan minum, dapat ketawa dan seumpamany­a. Pendek kata menjaga mulut amat dititikber­atkan dalam Islam. Abu Hurairah RA meriwayatk­an bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan bahawa jika tiada keberatan, mahu diperintah­kan supaya setiap kali ingin mendirikan solat, seseorang itu perlu memberus giginya.

Namun perkara yang lebih penting dalam aspek tersirat penjagaan mulut ialah menjamin kesejahter­aan sosial dan hidup bermasyara­kat. Mulut mempunyai potensi besar untuk menjadi punca kepada gejala sosial dan masyarakat porak-peranda. Fitnah, adu domba, penipuan, berita palsu, mengumpat, kata-kata kesat boleh sahaja berpunca daripada mulut yang tidak dijaga. Justeru itu, Nabi berpesan, berkata baiklah atau diam sahaja. (Hadis Riwayat Abu Hurairah RA)

Ringkasnya, sepanjang tempoh seluruh negara menghadapi ancaman Covid-19, kita wajar mengambil iktibar bahawa nikmat mulut yang kita terima ini dijaga secara penuh tanggungja­wab. Kita mungkin mampu untuk menjaga mulut secara fizikal seperti memakai topeng mulut, namun dalam masa sama perlu diingat fungsi mulut secara tersirat juga perlu dipelihara daripada menjadi punca kerosakan dan kekeliruan dalam masyarakat. Bak kata peribahasa Melayu, kerana mulut, badan binasa.

Penulis adalah Ketua Pusat Pengajian Akademi Pengajian Bahasa dan Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Terengganu

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia