Harian Metro

Pemain ragbi negara ‘laku keras’

- Oleh Syazwan Msar mohdsyazwa­n@ hmetro.com.my

Kuala Lumpur:

Ramai yang tidak mengetahui sebenarnya pemain ragbi Malaysia boleh dikatakan ‘laku keras’ apabila sentiasa mendapat perhatian daripada kelab luar negara yang mahu menggunaka­n khidmat mereka untuk pasukan masing-masing.

Malah, pembabitan Malaysia dalam Kejohanan Ragbi Asia dan Liga Ragbi Premier menjadi platform untuk pasukan luar mengintai pemain Malaysia seterusnya mengambil mereka pada masa akan datang.

Perkara terbabit diakui Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya yang melihat situasi berkenaan satu perkembang­an positif dalam memantapka­n lagi pasukan negara.

Beliau berkata, setakat ini lima pemain Malaysia sudah berkelana di luar negara dengan masing-masing menjadi antara tunjang utama kepada pasukan.

“Mereka bukan saja dipilih semata-mata kerana keupayaan masing-masing namun diberikan kepercayaa­n menjadi kapten pasukan seperti K Dinesvaran di Jepun.

“Kebanyakan kelab luar terpukau dengan aksi pemain Malaysia apabila mereka menyertai kejohanan di peringkat antarabang­sa seperti kejohanan Ragbi Asia dan Liga Ragbi Premier.

“Jadinya, tidak mustahil pada masa akan datang akan lebih ramai lagi pemain ragbi Malaysia bermain bersama kelab elit di luar sekali gus mengharumk­an nama negara di persada antarabang­sa,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, beliau berkata, ranking Malaysia yang boleh dikatakan membanggak­an dengan berada di kedudukan keempat di Asia dan 47 di peringkat antarabang­sa sudah pasti memberi kelebihan kepada pemain untuk berkelana ke luar negara.

“Kita mengetahui ragbi boleh dikatakan kurang popular berbanding sukan utama lain namun KRM ada cara tersendiri untuk memastikan ia terus mendapat perhatian umum.

“Sekarang ini, kita komited memastikan setiap pemain mendapat pendedahan sewajarnya selain mempergiat­kan lagi pembanguna­n akar umbi,” katanya.

Ketika ini, pemain ragbi negara Lawrence Petrus beraksi bersama skuad Universiti Western Australia (UWA) di Australia manakala Mohd Amin di Jerman sementara K Dinesvaran pula menabur bakti di Jepun.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia