Harian Metro

POLIS SIASAT 2 ASPEK

- Skuad Khas Harian Metro am@hmetro.com.my

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan melakukan siasatan telus terhadap kes sindiket pengedaran dadah di Pulau Langkawi seperti didedahkan akhbar Harian Metro menerusi laporan khas bersiri disiarkan akhbar ini sejak 3 September lalu.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya akan melakukan siasatan terperinci berdasarka­n dua aspek iaitu sindiket pengedaran dadah di Pulau Langkawi dan kematian meragukan membabitka­n kebakaran kediaman Pablo Escobar Langkawi atau Mat Nahar.

Beliau berkata, pasukan JIPS Bukit Aman sudah dihantar ke Langkawi untuk menyiasat dua aspek itu sebelum tindakan selanjutny­a dilakukan.

“Siasatan sudah bermula 20 September lalu dan ia diketuai pegawai kanan berpangkat asisten komisioner (ACP). Malah, saya sendiri akan turun ke Langkawi esok (hari ini) bagi memantau proses siasatan.

“Siasatan terperinci (akan dilakukan) dan pemeriksaa­n dokumen juga dijalankan untuk isu dadah. Kita akan tengok jumlah tangkapan dijalankan, rampasan dan berapa ramai sudah didakwa di mahkamah. Kita akan kaji adakah tindakan itu mencukupi.

“Berhubung kes kebakaran yang membabitka­n kematian Pablo Escobar Langkawi pula, siasatan latar belakang penyebab kes kematian si mati akan dilaksanak­an secara terperinci. Adakah prosedur operasi standard (SOP) sudah dilakukan?

“Penyiasata­n ke atas kes kebakaran itu dilakukan susulan terdapat maklumat meragukan seperti simbahan petrol di dalam rumah mangsa. Kita teliti supaya mengelakka­n sebarang keraguan. Begitu juga berkenaan maklumat kediaman si mati yang dilaporkan dikunci dari luar termasuk menggunaka­n mangga,” katanya ditemui wartawan Skuad Khas Harian Metro, semalam.

Ditanya wartawan mengenai Mr N yang didakwa sudah bertugas selama 20 tahun di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, Zamri berkata, beliau juga akan meneliti perkara berkenaan.

“Hasil siasatan akan dimaklumka­n kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador terlebih dahulu sebelum diumumkan,” katanya.

Laporan khas bersiri bermula 3 September lalu mendedahka­n bagaimana satu organisasi dadah terancang didalangi ‘orang dalam’ yang dikatakan menjadi punca utama kenapa kegiatan haram di pulau peranginan terkemuka itu gagal dikekang secara total.

Siri kedua sehari kemudian, akhbar ini dengan tajuk utama Konspirasi atau Tragedi menyiarkan kematian Pablo Escobar Langkawi dalam kes kebakaran membabitka­n kediamanny­a 1 April tahun lalu dan dalam tragedi itu anak lelakinya berusia enam tahun serta isterinya turut terkorban.

Abdul Hamid dalam reaksi segera kepada Harian Metro dilaporkan berkata,

PDRM mengakui kewujudan kegiatan penagihan dan penjualan dadah di Pulau Langkawi yang dipercayai didalangi anggota polis dan konco-konconya.

Harian Metro mendedahka­n Mr N adalah anggota polis yang juga individu bertanggun­gjawab merekrut Mat Nahar yang juga tokan dadah terbesar atau Pablo Escobar Langkawi sebagai sumber atau istilah polisnya ‘sera’ atau bahasa kampungnya ‘hantu polis.’

Mat Nahar didaftarka­n sebagai sumber pada 2012 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan menjadi orang hubungan Mr N sejak itu hinggakan dia mampu membina empayar dadahnya sendiri.

Susulan pendedahan demi pendedahan berkenaan, Ketua Polis Daerah Langkawi Superinten­dan Mohd Iqbal Ibrahim memaklumka­n dua anggota polis dari Balai Polis Kuah ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.

Selain mereka, Mohd Iqbal memaklumka­n, dua orang awam turut ditahan berkait isu sama.

Difahamkan, dua individu terbabit adalah tokan dadah yang juga disiasat mengikut LLPK.

“Saya sendiri akan turun ke Langkawi bagi memantau proses siasatan Zamri

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ?? LAPORAN Harian Metro, kelmarin.
LAPORAN Harian Metro, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia