Harian Metro

Tanda tanya perigi 1345

Telaga dikatakan tempat persinggah­an pedagang dijumpai dalam semak samun

- Oleh Zatul Iffah Zolkiply zatuliffah@hmetro.com.my

Sebuah perigi lama dipercayai berusia ratusan tahun ditemui di kawasan Kampung Mengabang Kapal di sini, Jumaat lalu.

Perigi ditulis bertarikh 1345 dijumpai penduduk kampung ketika membersihk­an kawasan itu.

Difahamkan, ada antara penduduk kampung mengetahui kewujudan perigi itu di kawasan berkenaan namun tiada yang berani menghampir­i kawasan berkenaan yang ketika itu semak samun selain didakwa ‘keras’.

Penduduk, Dilah Ambak, 60, berkata, telaga itu dikatakan sering menjadi tempat persinggah­an pedagang di negeri itu.

“Mengikut cerita orang lama, kawasan ini menjadi tempat orang singgah untuk sembahyang dan mandi kerana ada surau di kawasan ini.

“Perigi ini sudah lama, tetapi kawasan ini dipenuhi semak dan Jumaat lalu kita bergotong-royong dan selepas diteliti, nampak tarikh tercatat.

“Saya tak pasti berapa usianya, tetapi yang pastinya perigi ini sudah lama wujud,” katanya.

Bagi Prof Datuk Dr Yahaya Ibrahim yang juga penduduk kampung sama berkata, perigi lama itu mampu menjadi tarikan terbaharu kampung berkenaan.

Dr Yahaya yang juga Timbalan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobuday­a

Majlis Profesor Negara berkata, kajian mendalam perlu dilakukan bagi mengetahui kesahihann­ya.

“Tarikh di perigi jadi tanda tanya sama ada masihi atau hijrah, jadi kalau hijrah pun hampir seratus tahun, kalau masihi sudah 600 tahun lebih 675 tahun.

“Ia memang satu penemuan luar biasa dalam konteks sejarah dan perlu dipelihara pihak yang bertanggun­gjawab.

“Kita bersihkan tempat ini sebab merancang menjadikan­nya kawasan rehat dan tak sangka jumpa perigi ini, jika benar ia tinggalan sejarah ia perlu dipelihara,” katanya yang juga pensyarah kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Sementara itu, Ketua Bahagian Sejarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu Azuan Harun berkata, kajian mendalam akan dilakukan bagi memastikan usia sebenar perigi berkenaan.

“Kita tidak boleh buat kesimpulan terlalu cepat dan kajian mendalam perlu dilakukan bukan saja membabitka­n perigi ini, tetapi sejarah kawasan dan penempatan di sini.

“Daripada segi fakta, susah nak jangka usia sebenar perigi ini, tetapi daripada segi strukturny­a, kemungkina­n ada yang ditambah, tetapi binaan asas perigi ini agak unik.

“Jika ditanya bila kita akan tahu usia sebenar perigi ini, ia memerlukan masa panjang untuk diperhalus­i,” katanya.

 ??  ?? ANGKA 1345 yang ditulis di bahagian tepi perigi.
BAHAGIAN dalam perigi yang ditemui.
PENDUDUK kampung melihat perigi yang ditemui di Kampung Mengabang Kapal, Kuala Nerus.
ANGKA 1345 yang ditulis di bahagian tepi perigi. BAHAGIAN dalam perigi yang ditemui. PENDUDUK kampung melihat perigi yang ditemui di Kampung Mengabang Kapal, Kuala Nerus.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia