Harian Metro

Rugi RM9,800 diperdaya ada bungkusan wang asing

-

Butterwort­h: Seorang peniaga makanan di Jalan Raja Uda di sini, rugi RM9,800 selepas terperdaya dengan sindiket African Scam yang menawarkan bungkusan berisi mata wang asing.

Susulan itu wanita berkenaan membuat laporan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian bermula kelmarin, selepas mangsa berusia 35 tahun dihubungi individu tidak dikenali melalui WhatsApp.

“Mangsa didakwa mempunyai bungkusan atas namanya dan perlu membuat bayaran jika mahu menuntut barangan itu, malah mangsa turut diugut supaya melakukann­ya jika tidak mahu ditangkap dan dipenjarak­an.

“Ini kerana suspek mendakwa bungkusan milik mangsa dikesan mengandung­i sejumlah mata wang asing dalam jumlah yang besar selepas proses imbasan.

“Disebabkan takut, mangsa menuruti semua arahan suspek dan membuat enam transaksi wang berjumlah RM9,800 ke dalam akaun yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, selepas itu suspek meminta bayaran tambahan yang menyebabka­n mangsa sedar dia sudah diperdaya sindiket penipuan dan membuat laporan polis semalam.

Selain itu, Noorzainy memberitah­u seorang pekerja kilang turut menerima nasib sama apabila ditipu sindiket pelaburan forex hingga rugi RM10,950.

Katanya, mangsa lelaki berusia 51 tahun itu didakwa mendaftar untuk pelaburan jenis Pelan Satu dengan bayaran RM350, tetapi diminta membuat bayaran tambahan jika mahu menerima dividen.

“Tidak mengesyaki apa-apa, mangsa membayar RM10,950 dan hanya menyedari ditipu apabila suspek menuntut bayaran tambahan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia