Harian Metro

NUTP minta menteri lihat isu pengisian Deskripsi Tugas

-

Kesatuan Perkhidmat­an Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meminta Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin melihat semula isu pengisian Deskripsi Tugas dalam kalangan guru supaya tak membebanka­n mereka yang sepatutnya bertugas mendidik anak bangsa.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata, pihaknya menerima aduan daripada ahli-ahli NUTP yang mana guru tidak hanya terbeban dengan kerja tidak relevan yang masih belum selesai sepenuhnya malah ditambah dengan isu pengisian Deskripsi Tugas.

“Pihak NUTP berpendapa­t kerja pengisian seperti ini adalah terbeban dan tidak relevan kerana tujuan dan matlamat pengisian adalah tidak jelas.

“Ia seumpama sekadar melengkapk­an dokumen dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) atau hanya untuk kegunaan perkhidmat­an sahaja,” katanya.

Menurut kenyataan itu, antara masalah yang dihadapi guru adalah tempoh mengisi Deskripsi Tugas yang terhad dan terlalu terperinci, selain guru perlu mengisi sembilan bahagian bagi setiap gred, masalah teknikal iaitu butiran yang diisi dan disimpan hilang apabila dibuka semula, serta kerja pengisian terganggu kerana sistem tergendala.

Katanya, guru juga perlu mengisi gred-gred hakiki semasa sehingga Deskripsi Tugas gred tertinggi (DG54), contohnya, guru gred DG29 perlu mengisi Deskripsi Tugas gred DG29 sehingga DG54.

Selain itu, NUTP menerima aduan guru terpaksa mengisi Deskripsi Tugas di bahagian ‘Akauntabil­iti-bahagian tugas utama’ sebanyak 11 kali kerana data yang diisi sebelum ini hilang. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia