Harian Metro

Belasah bayi 4 bulan

Suri rumah cederakan budak sampai lebam didenda RM10,000 atau jel 4 bulan

- Bernama

Seorang suri rumah didenda RM10,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana memukul bayi asuhannya berusia empat bulan sehingga mengakibat­kan lebam di muka dan punggung mangsa.

Hakim Mahyon Talib menjatuhka­n hukuman itu ke atas Nurul Aslamiah Kamarudin, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan­nya.

Mengikut pertuduhan, Nurul Aslamiah sebagai pengasuh bayi perempuan itu didakwa secara cuai menyebabka­n mangsa cedera dengan memukulnya sehingga lebam di muka dan paha kiri serta lebam dan luka di punggung kiri.Dia melakukan kesalahan itu di pangsapuri di Presint 14, Putrajaya pada 5.40 petang, 18 September 2019 mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Nurul Aslamiah yang tidak diwakili peguam dalam nada sebak merayu hukuman denda minimum.

“Saya datang dari Terengganu, Yang Arif. Sekarang saya suri rumah sepenuh masa dan ada seorang anak berusia lapan tahun manakala suami bekerja sebagai pembantu am,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyebabka­n bayi yang tidak berdosa itu cedera.

“Sebagai pengasuh, tertuduh sewajarnya memberi sepenuh perhatian dan penjagaan kepada mangsa apatah lagi tertuduh diberi kepercayaa­n oleh keluarga mangsa menjaganya.

“Kekerapan jenayah penderaan dan kecuaian kanak-kanak harus dipertimba­ngkan mahkamah, jadi saya mohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada penjaga dan pengasuh di luar sana supaya lebih berhati-hati,” kata Nurliyana.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga ibu bayi terbabit menyedari ada beberapa kesan lebam di beberapa bahagian badan anaknya selepas mengambil bayi itu yang ditinggalk­an di rumah tertuduh.

Mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya dan disahkan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan disyaki dilakukan tertuduh yang hampir sebulan mengasuh bayi itu.

Saya datang dari Terengganu, Yang Arif. Sekarang saya suri rumah sepenuh masa dan ada seorang anak berusia lapan tahun manakala suami bekerja sebagai pembantu am.

Nurul Aslamiah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia