Harian Metro

DENDAM ADIK IPAR BABAK DUA

Lelaki bertindak langgar kedai makan dengan lori

- Oleh Zatul Iffah Zolkiply zatuliffah@hmetro.com.my

Seorang lelaki bertindak melampau apabila merempuh kedai makan milik abang iparnya akibat rasa tidak puas hati dalam kejadian di Kampung Binjai Rendah, Bukit Payong di sini, Isnin lalu.

Kejadian itu disedari berlaku kira-kira jam 10.55 malam ketika mangsa berusia 46 tahun sedang berkemas di dalam kedainya sebelum terdengar bunyi dentuman kuat di hadapan.

Menurut sumber, mangsa yang terkejut mendengar bunyi rempuhan itu segera keluar lalu ternampak sebuah lori dipandu adik iparnya merempuh kedai berkenaan.

Katanya, sebaik ternampak kelibat mangsa, suspek berusia 30-an segera melarikan diri bersama lori berkenaan.

“Mangsa yakin adik iparnya sengaja merempuh kedai miliknya kerana sebelum ini suspek tidak berpuas hati dengan mangsa dan dikatakan sudah dua kali bertindak merosakkan kedai makannya.

“Bagaimanap­un, mangsa hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu bergaduh, namun tindakan suspek kali ini dilihat melampau kerana bukan hanya menyebabka­n dia mengalami kerugian, tetapi turut mengancam nyawa pelanggann­ya,” katanya.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superinten­dan Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi mengesahka­n menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia