Harian Metro

VIVY SAMAN NETIZEN

Dakwa difitnah berkenaan isu bantuan kerajaan untuk individu terjejas Covid-19

-

Datin Vivy Yusof memfailkan saman terhadap seorang netizen atas dakwaan memfitnah pengasas FashionVal­et dan dUCK Group itu menerusi laman sosial berhubung isu kerajaan membantu golongan B40 dan M40 yang terjejas oleh penularan Covid-19.

Saman fitnah itu difailkan Vivy Yusof, 33, atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof menerusi Tetuan Foong Cheng Leong & Co pada 15 Jun lepas dengan menamakan Alia Najwa Hassannudi­n, 28, selaku defendan tunggal.

Semalam ditetapkan untuk pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datin Rohani Ismail dan hasil semakan mahkamah, pengurusan kes selanjutny­a ditetapkan pada 7 Oktober ini.

Berdasarka­n penyataan tuntutan yang dilihat melalui carian dalam e-filing, Vivy selaku plaintif berkata pada 28 Mac lepas, beliau menerbitka­n rakaman video dalam akaun Instagramn­ya berhubung perbualan empat usahawan berkaitan status ekonomi akibat Covid-19 dan Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Vivy mendakwa pada 30 Mac lalu, defendan sudah menerbitka­n beberapa penyataan berkenaan plaintif dalam akaun Facebook dan Instagram milik defendan dan secara salah menyatakan plaintif mempersoal­kan tindakan kerajaan membantu golongan B40 dan M40 sedangkan mereka tidak memberi apa-apa sumbangan kepada ekonomi negara. Usahawan wanita itu mendakwa penyataan fitnah tersebut antara lainnya membawa maksud bahawa plaintif tidak bersimpati terhadap golongan B40 dan M40, bersikap angkuh, mementingk­an diri sendiri dan tidak profesiona­l serta hanya mementingk­an keuntungan.

Kata Vivy, penerbitan penyataan fitnah itu turut menyebabka­n pelancaran satu petisyen di laman web sekitar 1 April lepas bagi mendesak plaintif dilucutkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM kerana menghina golongan berkenaan dan petisyen tersebut ditandatan­gani lebih 230,000 pengguna Internet sejak dilancarka­n.

Ikon fesyen itu mendakwa pada 2 April lepas, surat tuntutan dikeluarka­n kepada defendan dan menuntut supaya beliau berhenti menerbitka­n sebarang penyataan fitnah terhadap plaintif di laman sosial dan plaintif juga mendakwa defendan membalas surat tuntutan melalui aplikasi Facebook tetapi gagal mematuhi semua kehendak plaintif.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, suatu perintah supaya defendan memadamkan penerbitan penyataan-penyataan fitnah tersebut selain memohon defendan menerbitka­n suatu permohonan maaf terhadap plaintif. - Bernama

 ??  ?? VIVY
VIVY

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia