Harian Metro

Rangsangan beri kesan positif kepada ekonomi negara

-

Putrajaya:

Pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion yang diumumkan kerajaan dijangka menyumbang 3.7 hingga 4.0 mata peratusan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaksanaa­n Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS+, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin)

meletakkan negara dalam kedudukan yang lebih baik untuk pemulihan ekonomi menjelang 2021.

“Menerusi Kita Prihatin, ia dijangka memberi kesan positif kepada pertumbuha­n ekonomi negara dalam suku keempat tahun ini. Kesan positif ini dijangka dicapai hasil daripada peruntukan RM10 bilion yang akan diberikan secara terus kepada rakyat dan perniagaan.

“Kerajaan juga menyasarka­n kesan berganda antara bantuan di bawah Kita Prihatin dengan pakej rangsangan lain yang masih dilaksanak­an,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumka­n pakej Kita Prihatin bernilai RM10 bilion dalam usaha kerajaan meringanka­n beban rakyat. Kita Prihatin merangkumi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 (RM2.4 bilion) dan inisiatif Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak

RM600 juta.

Kita Prihatin menyasarka­n golongan B40, M40, pekerja dalam pelbagai bidang dan peniaga mikro. Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan yakin Kita Prihatin akan mengekalka­n momentum pemulihan berdasarka­n petunjuk pemulihan ekonomi yang dicatatkan baru-baru ini seperti penurunan kadar penganggur­an, peningkata­n Indeks Pengeluara­n Perindustr­ian,

Indeks Pelopor dan sektor runcit serta rekreasi.

Katanya, walaupun perbelanja­an kerajaan dijangka meningkat disebabkan rangsangan tambahan itu, namun matlamatny­a adalah konsisten iaitu untuk mengutamak­an kesejahter­aan kehidupan rakyat, kelangsung­an perniagaan dan pengekalan pekerjaan dalam tempoh yang mencabar ini.

“Pada masa sama, kerajaan tetap komited dalam memastikan disiplin fiskal. Kami di Kementeria­n Kewangan sentiasa memantau pelbagai indikator ekonomi di tahap domestik dan global, untuk memastikan negara berada di landasan pemulihan ekonomi yang tepat dan kukuh,” katanya.

Menurut firma penyelidik­an, peruntukan RM10 bilion untuk Kita Prihatin adalah daripada dana yang belum digunakan dalam peruntukan keseluruha­n RM45 bilion sebelum ini.

Susulan itu, paras defisit fiskal tidak berubah daripada sasaran rasmi awal kerajaan iaitu antara 5.8 hingga 6.0 peratus daripada KDNK adalah tidak berubah.

Peruntukan RM10 bilion untuk Kita Prihatin adalah daripada dana yang belum digunakan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia