Harian Metro

KEDUDUKAN TINGGI HADIS MUTAWATIR

Ilmu diperoleh daripada hadis mutawatir menghasilk­an keyakinan dan iktikad jazam yang tidak boleh dipertikai­kan. Kedudukann­ya adalah sama seperti al-Quran yang sampai kepada kita secara mutawatir

- Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

Sekiranya sesuatu kejadian disaksikan oleh ramai orang, maka berita kejadian itu pastinya sukar untuk ditolak dan dinafikan. Ini berlainan jika kejadian berkenaan hanya disaksikan oleh seorang dua sahaja, berita kejadian itu mungkin mudah untuk ditolak dan dinafikan.

Ini kerana berita daripada ramai orang menyebabka­n tidak mungkin dari segi akal mereka semua bersepakat mengada-adakan berita berkenaan. Berbeza dengan berita daripada seorang dua saja yang menyebabka­n harus dari segi akal untuk dia atau mereka bersepakat mengada-adakan berita berkeanan.

Oleh itu, aspek kebolehper­cayaan terhadap berita individu lebih perlu diberikan perhatian dan penelitian berbanding berita orang ramai. Demikian juga hadis Nabi SAW yang diriwayatk­an kepada kita. Ada yang diriwayatk­an oleh ramai perawi dan ada diriwayatk­an oleh beberapa orang, malah seorang perawi sahaja.

Hadis yang diriwayatk­an oleh ramai sahabat Nabi SAW dinamakan hadis mutawatir. Hadis yang hanya diriwayatk­an oleh seorang atau beberapa orang sahabat Nabi SAW pula dinamakan sebagai hadis ahad.

Menurut disiplin ilmu hadis, hadis mutawatir ialah hadis yang mempunyai bilangan perawi yang ramai. Bilangan ramai ini pula ada pada setiap peringkat sanad, peringkat demi peringkat, daripada peringkat yang pertama sehingga peringkat yang terakhir sehingga akal secara logiknya menolak kemungkina­n semua perawi itu bersepakat untuk mereka cipta atau membuat pendustaan terhadap hadis diriwayatk­an.

Bagaimanap­un, ulama berbeza pendapat berkaitan had bilangan minimum yang boleh dikatakan sebagai ‘ramai’ bagi perawi hadis mutawatir. Sebahagian ulama tidak menetapkan bilangan tertentu, asalkan isi kandungan hadis itu diterima dan diamalkan secara umum oleh ramai orang. Menurut sebahagian ulama pula seperti Imam as-Suyuti (wafat 911H) had bilangan minimumnya ialah 10 perawi.

Ciri hadis mutawatir juga mesti disandarka­n kepada aspek pancainder­a seperti penglihata­n dan pendengara­n. Ini supaya maklumat yang diketahui oleh ramai orang melalui akal fikiran seperti alam semesta ini baharu atau sifir matematik misalnya, tidak dinamakan sebagai mutawatir. Secara ringkas, hadis yang tidak memenuhi ciri-ciri itu, tidak boleh dianggap sebagai hadis mutawatir.

Ilmu diperoleh daripada hadis mutawatir menghasilk­an keyakinan dan iktikad jazam yang tidak boleh dipertikai­kan. Kedudukann­ya adalah sama seperti al-Quran yang sampai kepada kita secara mutawatir. Sekiranya ada orang yang mengingkar­i atau menolak satu ayat al-Quran, boleh menyebabka­n dia jatuh kufur. Demikian juga orang yang menolak hadis mutawatir.

Keyakinan terhadap hadis mutawatir ini seperti seseorang yang menyaksika­n suatu peristiwa yang berlaku di hadapan matanya, maka pengetahua­n yang terhasil daripada penyaksian itu adalah satu keyakinan yang benar tanpa ada sebarang rasa ragu sedikit pun baginya.

Begitu juga dengan hadis mutawatir, ia perlu diterima tanpa sebarang rasa ragu lagi terhadap kebenaran nisbahnya kepada Nabi SAW. Oleh itu, ulama bersepakat bahawa hadis mutawatir adalah diterima sepenuhnya tanpa perlu diteliti keadaan perawinya.

Hadis mutawatir terbahagi kepada dua bahagian, iaitu mutawatir lafzi dan mutawatir ma‘nawi. Mutawatir lafzi ialah hadis yang mutawatir dari segi lafaz dan maknanya sekali gus seperti hadis: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka tempahlah tempat duduknya di dalam api neraka”. Menurut Imam as-Suyuti, hadis ini diriwayatk­an oleh lebih daripada 70 sahabat.

Mutawatir ma‘nawi pula ialah hadis yang mutawatir dari segi maknanya sahaja, tidak dari segi lafaz. Ertinya, ia mempunyai lafaz yang pelbagai, namun membawa maksud yang sama. Seperti hadis berkaitan mengangkat kedua-dua tangan semasa berdoa. Perbuatan ini diriwayatk­an dalam hampir 100 hadis bahawa Nabi SAW mengangkat kedua-dua tangan ketika berdoa. Bagaimanap­un, situasi dan lafaz yang digunakan dalam setiap hadis itu berbeza-beza, walaupun semuanya menyatakan baginda mengangkat tangan ketika berdoa. Oleh itu, perbuatan mengangkat tangan ketika berdoa ini adalah mutawatir dari segi makna hadis sahaja, tidak termasuk lafaznya.

Oleh kerana pentingnya kedudukan hadis mutawatir, sebahagian ulama berusaha mengumpulk­annya di dalam kitab khusus seperti al-Azhar al-Mutanathir­ah fi al-Akhbar al-Mutawatira­h oleh Imam al-Suyuti (wafat 911H) yang mengandung­i sebanyak 113 hadis, Laqt al-La’ali’ al-Mutanathir­ah oleh Imam Murtada al-Zabidi (wafat 1205 H) dan Nazm al-Mutanathir min al-Hadith al-Mutawatir oleh Syeikh Muhammad bin Jaafar al-Kattani (wafat 1345 H) yang mengandung­i sebanyak 310 hadis.

 ??  ?? KELEBIHAN menuntut ilmu antara perkara yang sering ditemui dalam hadis.
KELEBIHAN menuntut ilmu antara perkara yang sering ditemui dalam hadis.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia