Harian Metro

Bawa doktor ke mahkamah

Hakim arah 24 tertuduh kemuka laporan perubatan kesihatan

- Sungai Petani

Mahkamah Sesyen, di sini, semalam memerintah­kan 24 tertuduh yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang pada Oktober lalu untuk mengemukak­an laporan perubatan bagi mengesahka­n tahap kesihatan masing-masing.

Hakim Azman Abu Hassan mengarahka­n laporan itu dikemukaka­n sebelum atau pada 20 Disember ini dan dikeluarka­n oleh doktor kerajaan dengan pemeriksaa­n kesihatan menyeluruh terhadap semua tertuduh berusia antara 20 hingga 58 tahun itu.

Beliau memutuskan demikian selepas peguam Rafael Abdullah, yang mewakili seorang tertuduh memohon kebenaran mahkamah untuk membawa seorang doktor pakar dari sebuah hospital swasta ke mahkamah bagi memeriksa anak guamnya yang didakwa mempunyai masalah kesihatan termasuk jantung.

Menurut Rafael, pada awalnya beliau ingin membawa doktor ke penjara namun tidak dibenarkan susulan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19, menyebabka­nnya memohon kebenaran membawa pakar ke mahkamah.

Permohonan Rafael dipersetuj­ui empat peguam mewakili tertuduh lain, yang mahukan anak guam mereka turut menjalani pemeriksaa­n kesihatan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farhan Aliff Ahmad tidak membantah permohonan itu.

Sehubungan itu, hakim memutuskan semua tertuduh mengemukak­an laporan perubatan mereka bagi membolehka­n mahkamah meneliti tahap kesihatan masing-masing melalui laporan perubatan penuh sebelum sebutan semula kes pada 31 Disember ini.

Pada prosiding semalam, hanya 23 tertuduh hadir manakala seorang lagi tidak hadir kerana berada di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah, Perak yang kini masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sebaik tamat prosiding, mahkamah membenarka­n 23 tertuduh berjumpa seorang ahli keluarga selama tiga minit dengan kawalan ketat polis berikutan mereka sudah 42 hari dilarang berbuat demikian atas faktor mematuhi SOP Covid-19.

Pada 22 Oktober lalu, kesemua lelaki itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar Sungai Petani antara 1 Januari 2019 hingga 26 September lalu.

Pertuduhan dikemukaka­n mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, memperuntu­kkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Untuk rekod, pada 21 Oktober lalu, polis percaya satu sindiket memproses dadah dan jenayah kekerasan di sekitar Sungai Petani berjaya ditumpaska­n susulan penahanan semua lelaki itu termasuk ketua kumpulan mereka yang dikenali sebagai ‘Rusa Boy’. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia