Harian Metro

Budak OKU jatuh ditemui lemas

-

Kulim:

Seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) yang terjatuh ke dalam Sungai Merbok, Kampung Bikan Atas, Labu Besar di sini, kelmarin, ditemui lemas, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superinten­dan Azhar Hashim, berkata, mangsa, Irdina Aleesya Zamri, 8, ditemui jam 7.50 pagi oleh anggota bomba kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke tebing dengan bantuan pihak bomba dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

“Pihak polis meminta orang ramai supaya memastikan anak mereka tidak bermain di kawasan sungai disebabkan paras air yang meningkat ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Azhar berkata, dalam kejadian itu mangsa disedari hilang oleh ibunya selepas didapati tiada di rumah kira-kira jam 6 petang.

Menurutnya, ibu mangsa dan beberapa ahli keluargany­a keluar mencarinya sehingga ke Sungai Sedim yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka.

“Bagaimanap­un, ibunya menemui selipar mangsa yang berada di tebing sungai dan tualanya di atas tebing lalu mengesyaki anaknya terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

“Berikutan itu, mereka membuat laporan polis berhubung kejadian dan operasi dilakukan di kawasan itu dengan bantuan pihak bomba,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan dengan bantuan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani sejak malam kelmarin.

Katanya, mayat mangsa yang berjaya ditemui diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

 ??  ?? KELUARGA mangsa menunggu di lokasi kejadian.
KELUARGA mangsa menunggu di lokasi kejadian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia