Harian Metro

Makna angka 2 buat Mamat pada tahun ini

Menang dua peringkat LTdL, hanya dua kejohanan disertai serta TSG berada di kedudukan kedua keseluruha­n Jelajah Asia

- Oleh Ferzalfie Fauzi ferzalfie@hmetro.com.my

Angka dua dilihat sinonim dengan jaguh lebuh raya negara, Harrif Saleh pada 2020 ini tatkala pandemik Covid-19 sedikit sebanyak menghalang­nya untuk meraih lebih banyak pencapaian terpuji musim ini.

Pelumba Terengganu Inc Cycling Team (TSG) itu berbelah bahagi jika menceritak­an rumusan aksinya musim ini, tetapi akur pandemik berkenaan bukan hanya menjejaska­n perancanga­nnya, malah membabitka­n hampir semua pelumba serta pasukan profesiona­l lain.

Bagaimanap­un, angka dua yang tersemat dan paling diingati musim ini ialah dua kali memenangi perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dirumuskan sebagai pencapaian terbaiknya sepanjang karier.

“Selepas menjalani persiapan di Thailand pada Januari lalu bersama rakan sepasukan, akhirnya saya berjaya menterjema­hkannya di LTdL. Pada mulanya saya menjangkak­an hanya meraih podium, tapi memperoleh bonus dapat memenangi dua peringkat (lima dan tujuh).

“Ia satu bonus dan di luar jangkaan. Memang perlu bergelut dan bersaing, tapi saya ketepikan semua itu untuk membuktika­n anak jati Terengganu mampu mengulangi­nya selepas kali pertama dilakukan Anuar Manan (pada 2010),” katanya.

Harrif atau terkenal dengan panggilan Mamat juga memberitah­u bahawa video GoPro yang digunakann­ya ketika perlumbaan itu bukan untuk menunjuk-nunjuk.

“Ia untuk inspirasi kepada semua rakyat di luar bahawa tidak ada benda yang mustahil untuk memenangi perlumbaan dan bersaing dengan pelumba luar negara.

“Saya pun ada beberapa kali menyebut sorry, sorry ketika menuju ke garisan penamat untuk menunjukka­n betapa kita mempunyai adab dan budaya ketika menumpang barisan mereka tatkala saya keseoranga­n selepas itu barulah saya buat kerja untuk meraih kejayaan,” katanya.

Angka kedua seterusnya, mungkin agak janggal buat Harrif, iaitu hanya dua kejohanan saja disertainy­a musim ini, juga disebabkan Covid-19 tatkala perlumbaan di seluruh dunia dibatalkan.

“Selepas saja LTdL, terus kita dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selepas itu ia dilonggark­an semula apabila kes menurun dan saya sempat mengambil bahagian di kejohanan kebangsaan.

“Cuma kurang bernasib baik, ketika di kejohanan itu basikal saya mengalami masalah teknikal, menggagalk­an peluang saya untuk muncul juara. Bagaimanap­un, sekali lagi masyarakat nampak usaha saya dan menjadi tular, apabila saya berkongsi di media sosial, tetap berkayuh walaupun pengayuh rosak,” katanya.

Sebelum itu ketika PKP, dia seakan menggeleta­r kerana tidak dapat berkayuh di luar, hanya menghabisk­an masa dengan perlumbaan virtual dan ia bukan yang diinginkan oleh seorang pelumba.

“Memang sangat bergelut ketika itu, tidak boleh menyertai perlumbaan, berkunjung ke luar negara dan tidak boleh berkayuh. Saya pada mulanya seakan tidak percaya apa yang berlaku.

“Selepas dibenarkan melakukan aktiviti di luar perlu pula menjalani norma baharu tidak boleh bersalam dan bergambar dengan rakan-rakan serta peminat. Pada mulanya memang agak janggal sebelum ia menjadi kebiasaan,” katanya.

Nombor dua seterusnya buat karier Harrif musim ini apabila TSG hanya berada di kedudukan kedua keseluruha­n dalam Jelajah Asia, berada di belakang Sapura Cycling Team (TSC). Ia mungkin sedikit mengecewak­annya kerana musim lalu mereka berada di tangga teratas namun ia berbalik kepada apa yang berlaku seluruh dunia tahun ini, pandemik Covid-19 membuatkan mereka tidak sempat memungut mata secukupnya.

“Saya sangat berpuas hati prestasi 2020. Jika tidak disebabkan pandemik ini mungkin lebih banyak lagi kemenangan dapat dilakarkan kerana saya berada di puncak prestasi ketika di LTdL.

“Bagi 2021 saya berharap dapat merampas semula kejuaraan kebangsaan, memenangi beberapa peringkat perlumbaan jelajah bertaraf 2.1, 2.2 kerana saya sangat merindui semua ini.

“Sebelum ini kalau ada perlumbaan yang landai, ramai pelumba akan berkata ‘bagi kat mu la race ni’ baik pelumba tempatan mahupun antarabang­sa, tapi sekarang saya sudah lama tidak mendengar sapaan seperti itu. Rindu saat hendak masuk dalam laluan untuk melakukan henjutan,” katanya.

Apapun 2020 akan terus diingati Harrif, dua kali memenangi peringkat perlumbaan LTdL, dua kali menyertai kejohanan dan membantu TSG menduduki tangga kedua Jelajah Asia.

“Bagi 2021 saya berharap dapat merampas semula kejuaraan kebangsaan Harrif Saleh

 ??  ??
 ??  ?? HARRIF melakar kemenangan keduanya pada edisi ke-25 LTdL 2020, 13 Februari lalu.
HARRIF melakar kemenangan keduanya pada edisi ke-25 LTdL 2020, 13 Februari lalu.
 ??  ?? HARRIF memenangi peringkat kelima LTdL 2020 dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh.
HARRIF memenangi peringkat kelima LTdL 2020 dari Kuala Kubu Bharu ke Ipoh.
 ??  ?? HARRIF menunjukka­n pingat dimenangi selepas dinobatkan sebagai pemenang peringkat ketujuh LTdL 2020.
HARRIF menunjukka­n pingat dimenangi selepas dinobatkan sebagai pemenang peringkat ketujuh LTdL 2020.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia