Harian Metro

Banyak ‘karat’ hendak dibuang

-

Kuala Lumpur: Bagi memastikan skuad Harimau Malaya kembali bersinar dan tidak terus ‘berkarat’, bulan Januari dilihat tempoh sesuai buat pasukan kendalian Tan Cheng Hoe kembali berlatih selepas setahun tidak bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya memahami kerumitan Cheng Hoe yang berusaha untuk menghimpun­kan anak buahnya terutama bagi menghadapi kalendar perlawanan antarabang­sa pada Mac tahun depan.

Begitupun, disebabkan oleh kempen Liga Malaysia (Liga M) yang perlu dijalankan pada penghujung Februari nanti, beliau menyaranka­n supaya kem latihan negara dilangsung­kan pada minggu pertama Januari ini.

“Kita faham apa yang dilalui oleh skuad negara dan di pihak MFL akan cuba membantu dengan memberi masa yang lebih untuk mereka berlatih.

“Saya fikir bulan Januari adalah masa sesuai untuk mereka berlatih. Dah lama tak main hampir setahun, banyak karat yang nak kena betulkan.

“Sebab itu kita lewatkan sikit liga pada hujung bulan dua supaya selepas itu (selepas kem latihan negara), pemain dapat berlatih dengan kelab masing-masing sebelum liga mula,” katanya kepada Arena Metro.

Menerusi laporan akhbar ini semalam, Cheng Hoe mengakui terpaksa mengharapk­an sentuhan enam pemain di luar negara bagi memastikan skuad Harimau Malaya bersedia menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac nanti.

Enam pemain iaitu Safawi Rasid yang beraksi di Portugal, Luqman Hakim Shamsudin di Belgium, Hadi Fayyadh Abd Razak di Jepun serta tiga pemain di Thailand, Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh dan Dominic Tan ketika ini masih kekal beraksi dan berlatih berbanding pemain tempatan yang kini bercuti selepas Liga M berakhir bulan lalu.

“Kita juga ada beri masa seminggu lebih pada pertengaha­n Mac nanti iaitu sebelum Malaysia menentang UAE (Emiriah Arab Bersatu) dalam kelayakan Piala Dunia.

“Itu yang boleh kita bantu kerana jadual Liga M juga perlu diteruskan. Tempoh berkenaan cukup buat pasukan negara dan pihak pengurusan skuad negara juga dah tahu mengenai hal ini,” katanya.

Walaupun Konfederas­i Bolasepak Asia (AFC) belum mengeluark­an tarikh rasmi perlawanan kelayakan Piala Dunia itu, berdasarka­n kalendar Persekutua­n Bolasepak Antarabang­sa (Fifa), kemungkina­n aksi berkenaan akan dilangsung­kan pada minggu ketiga dan keempat Mac depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia