Harian Metro

GULUNG TIKAR

24 pasukan bakal kerugian RM100 juta tanpa hasil jualan tiket

- Oleh Firdaus Hashim firdaushas­him@ hmetro.com.my

Andai pandemik Covid-19 masih berlarutan tahun depan dan Majlis Keselamata­n Negara (MKN) berkeras melarang penonton ke stadium untuk menyaksika­n perlawanan Liga Malaysia (Liga M), sebanyak 24 pasukan Liga Super dan Perdana berdepan risiko muflis berikutan jualan tiket antara sumber pendapatan utama mereka. Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa menjangkak­an kerugian hampir RM100 juta jika senario itu berlaku. Ini berikutan jualan tiket paling penting dalam ekosistem bola sepak di Malaysia memandangk­an hasil daripada hak penyiaran dan wang kemenangan tidak semewah liga di luar negara, lapor Firdaus Hashim

Saingan Liga Malaysia (Liga M) bakal berdepan krisis terbesar dalam sejarah penganjura­nnya apabila dijangka berdepan risiko muflis seandainya penyokong bola sepak tempatan masih tidak dibenarkan ke stadium musim depan jika pandemik Covid-19 berterusan.

Jangkaan itu hadir susulan kebergantu­ngan kewangan setiap pasukan Liga M adalah daripada hasil kutipan tiket perlawanan selain wang tajaan yang diterima daripada syarikat swasta serta badan bukan kerajaan.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, hampir RM100 juta kerugian secara keseluruha­n bakal ditanggung oleh 24 pasukan Liga M iaitu dari Liga Super dan Liga Perdana yang boleh mengheret mereka ke kancah bankrap.

Katanya, jualan tiket perlawanan adalah elemen terpenting dalam ekosistem bola sepak di Malaysia memandangk­an hasil daripada hak penyiaran dan wang kemenangan tidak semewah liga di luar negara.

Lantas, hasil kutipan tiket sememangny­a penting bagi memastikan industri bola sepak terus hidup dan bernyawa di kala negara ketika ini sedang berdepan ketidakten­tuan ekonomi disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“Bermula tahun depan, Liga M dah bergerak secara swasta di mana ia dimiliki oleh pihak individu yang bergelar usahawan ataupun dimiliki secara konsortium iaitu pemilikan secara bersama.

“Jadi maksudnya, sumber kewangan pasukan datangnya daripada pemilik sendiri tanpa mengharapk­an dana daripada kerajaan negeri lagi.

“Sudah tentu ia berkait dengan soal keuntungan kerana setiap pelabur pastinya mahu melihat ROI atau pulangan pelaburan dan dalam hal ini, pemilik tentunya tidak mahu rugi.

“Salah satu keuntungan dalam bola sepak adalah menerusi kutipan tiket. Bayangkan kalau penonton masih tidak dibenarkan masuk ke stadium musim depan, saya jangka kelab ini tidak akan mampu bertahan dan mungkin boleh bankrap,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelasnya, pihak penaja juga mungkin akan sukar untuk menaja kerana sedar ROI yang diterima tidak sepadan dengan pulangan hasil penajaan kepada pasukan.

“Bila penonton tak boleh masuk stadium, secara kitaran dalam ekonomi juga menunjukka­n logo atau pemasaran jenama penaja takkan dilihat oleh ribuan mata.

“Di situ nanti, penaja melihat tidak berbaloi untuk mereka menaja kerana kitaran itu tidak lengkap ekoran tiadanya audiens untuk melihat jenama mereka,” katanya.

Beliau berkata, bukan itu saja, syarikat pengeluar baju sukan juga bakal menerima tempias berikutan halangan ke stadium.

“Pengeluar jersi juga akan rugi. Biasanya penonton akan ke stadium dengan memakai jersi baharu tetapi kalau tahun depan tak boleh lagi, buat apa penyokong nak beli sedangkan mereka tak boleh nak ke stadium.

“Jadi sebenarnya banyak kesan dan implikasin­ya kepada bola sepak negara kalau penyokong masih dihalang ke stadium. Keghairaha­n secara perlahan-lahan akan hilang dan akhirnya liga akan ‘mati’ dan dilupakan oleh penyokong.

“Saya harap pihak berwajib seperti MKN (Majlis Keselamata­n Negara) dan pentadbir bola sepak negara dapat duduk berbincang cari solusi terbaik, dengan ambil contoh liga di luar yang membolehka­n penonton masuk dengan mengamalka­n SOP ketat,” katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia