Harian Metro

Beli sampai RM40,000 satu set

-

Alor Setar: “Ada pelanggan mengambil kesempatan harga emas yang murah untuk membeli set barangan kemas pada harga RM40,000 sebagai aset jangka panjang,” kata Akauntan Kedai Emas Suhaimi, Muhammad Rezal Hilmi, 21.

Kedai Emas Suhaimi terletak di Jalan Kota di bandar raya ini dan turut menjadi tumpuan ratusan pelanggan yang mahu membeli barangan kemas pada harga murah sejak minggu lalu.

Harga emas yang turun menyebabka­n ramai individu, terutamany­a wanita sanggup berhabis wang untuk membelinya sebagai aset jangka panjang.

Tinjauan di beberapa kedai emas di sekitar bandar raya ini pula mendapati, sebahagian besar pelanggan mula beratur seawal jam 10 pagi sebaik kedai emas dibuka.

Menurut Muhammad Rezal, harga pasaran emas sering berubah-ubah namun harganya rendah sejak minggu lalu.

Katanya, selepas pelaksanaa­n Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, harga pasaran emas agak tinggi sehingga mencecah RM269 segram.

“Bagaimanap­un, harganya menurun disebabkan kekurangan pelanggan akibat pergerakan terhad. Ia turun antara RM220, RM222, RM248 dan RM250.

“Namun apabila pasaran emas turun semula, ramai yang tidak mahu melepaskan peluang membeli aset masa depan ini berikutan keadaan ekonomi yang masih kurang stabil,” katanya ditemui di premis berkenaan.

Muhammad Rezal berkata, setiap hari, 150 hingga lebih 200 pelanggan akan mengunjung­i kedai emas berkenaan malah ada yang datang berulang kali untuk membeli emas.

Katanya, ini ditambah dengan fesyen terkini barangan emas seperti rantai tangan dan cincin daun ketum, roti ban, biskut tawar serta pulut dakap menyebabka­n ramai yang berminat untuk membeli.

“Ada pelanggan yang datang membeli set barangan emas mencecah RM40,000 kerana mahu disimpan sebagai aset jangka panjang.

“Penurunan harga emas tidak selalu kerana ia bergantung pada keadaan semasa malah upah pula bergantung pada fesyen barangan kemas yang dipilih,” katanya.

Menurutnya, ada pelanggan yang sanggup menempah emas di situ terutama pelanggan dari Perlis, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, selain pameran barang kemas di premis berkenaan, pihaknya turut mempromosi­kan barangan kemas di Facebook dengan menyiarkan­nya secara langsung.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia