Harian Metro

Kereta asli lebih 25 tahun dapat penguranga­n cukai jalan 80%

-

Kuala Lumpur:

Orang ramai yang mempunyai kereta asli berusia lebih 25 tahun boleh mendapatka­n status klasik atau vintaj bagi kenderaan itu dengan penguranga­n bayaran cukai jalan sebanyak 80 peratus.

Pengarah Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail berkata, permohonan status kenderaan berkenaan terbuka kepada semua warganegar­a Malaysia.

“Antara syarat wajib bagi permohonan ini adalah pemohon mempunyai dua kenderaan lain serta kenderaan yang dipohon untuk status berkenaan masih mengekalka­n reka bentuk serta asas teknikal asli.

“Ini bermaksud tiada pengubahsu­aian yang menjejaska­n ciri asli kenderaan itu dan ia dibenarkan bagi permohonan ini,” katanya ditemui di Ibu Pejabat JPJ Kuala Lumpur di sini.

Mohd Zaki berkata, terdapat dua kategori bagi penguranga­n cukai jalan untuk kenderaan yang mendapat status klasik atau vintaj daripada pihaknya.

“Bagi kenderaan yang berusia lebih 25 tahun, pemilik layak mendapat penguranga­n cukai jalan sebanyak 80 peratus manakala kenderaan yang berusia lebih 50 tahun pula mendapat penguranga­n sebanyak 90 peratus.

“Sebelum ini, penguranga­n bayaran cukai jalan berkenaan hanya sah dalam tempoh tiga tahun sijil status berkenaan dikeluarka­n. Namun, bermula tahun lalu, JPJ melanjutka­n penguranga­n berkenaan dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima sejumlah 167 permohonan bagi mendapatka­n status berkenaan bagi tempoh lebih lima tahun.

Pada 2016, sebanyak 15 permohonan diterima, 2017 (11 permohonan), 2018 (39 permohonan), 2019 (38 permohonan) dan 64 permohonan sepanjang 2020.

“Malah, setakat 12 Januari lalu, kami sudah menerima tiga permohonan status berkenaan bagi tahun ini,” katanya.

Menurut beliau, bagi individu yang berminat, mereka boleh menghubung­i Bahagian Kejurutera­an Automotif JPJ untuk mendapatka­n penjelasan daripada pegawai bertugas.

“Jika dulu, permohonan itu perlu disertai surat sokongan daripada kelab (kenderaan), namun kini tidak perlu lagi.

“Mereka yang berminat boleh mengisi borang permohonan bagi status berkenaan secara dalam talian menerusi portal JPJ.

“Borang yang sudah diterima akan melalui beberapa proses sebelum kenderaan terbabit diminta untuk dibawa ke pejabat JPJ untuk pemeriksaa­n lanjut,” katanya.

Terdapat dua kategori penguranga­n cukai jalan untuk kenderaan yang mendapat status klasik

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia