Harian Metro

KWSP AGIH DIVIDEN RM47B

Umum dividen 5.20 peratus bagi Simpanan Konvension­al, 4.90 peratus bagi Simpanan Shariah

-

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatka­n prestasi kukuh dari aspek operasi dan kewangan bagi 2020 dengan mengumumka­n dividen 5.20 peratus dan jumlah agihan RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvension­al dan 4.90 peratus untuk Simpanan Shariah dengan agihan berjumlah RM4.76 bilion.

Jumlah agihan dividen bagi 2020 adalah RM47.64 bilion.

Dengan purata lima tahun dividen sebenar pada kadar 4.62 peratus untuk Simpanan Konvension­al dan 4.32 peratus bagi Simpanan Shariah selepas diselarask­an untuk inflasi, KWSP melebihi sasaran strategik dengan pengisytih­aran purata dividen sebenar tidak kurang daripada 2.00 peratus dalam tempoh lima tahun berturut-turut.

KWSP berjaya mencatatka­n prestasi yang memberangs­angkan untuk 2020 walaupun mengharung­i situasi tidak terjangka iaitu pandemik Covid-19 dan dalam persekitar­an unik yang menyaksika­n dunia berhadapan krisis berkembar iaitu krisis kesihatan dan ekonomi. Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, KWSP berjaya melindungi simpanan persaraan ahli dengan baik di samping memenuhi keperluan mendesak untuk mereka menangani cabaran semasa.

“Ada ketika KWSP perlu mengambil keputusan sukar bagi memastikan ahli mampu bertahan dalam situasi semasa dan pada masa sama mengimbang­i keperluan masa depan mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarka­n, semalam.

Menurutnya, berikutan caruman lebih rendah bagi 2020, kemampuan KWSP menyesuaik­an diri dengan keperluan semasa memastikan pelaburann­ya dapat memberikan pulangan mampan jangka panjang dalam keadaan norma baharu.

“KWSP mencatatka­n pendapatan pelaburan kasar tertinggi iaitu RM60.98 bilion apabila RM6.15 bilion diperuntuk­kan kepada

Simpanan Shariah.

“Prestasi baik ini hasil pendekatan berhemah berpanduka­n Alokasi Aset Strategik (SAA) yang memastikan KWSP tetap berdaya tahan walaupun menghadapi krisis tidak dijangka,” katanya.

Setakat Disember 2020, 33 peratus daripada aset pelaburan KWSP berada di luar negara, merangkumi pelbagai kelas aset seperti ekuiti khususnya ekuiti asing yang terus menjadi pemacu pulangan pendapatan pelaburan sebanyak RM28.71 bilion.

Katanya, jumlah ahli KWSP turut meningkat dua peratus kepada 14.89 juta, sementara majikan berdaftar dengan KWSP adalah 534,398.

KWSP kini memerlukan RM8.25 bilion untuk membayar setiap 1.0 peratus dividen untuk Simpanan Konvension­al dan RM972 juta untuk membayar setiap 1.0 peratus dividen untuk Simpanan Shariah bagi 2020.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia