Harian Metro

Dekatkan diri pada Allah

Rasa malu kepada Allah dapat ditanam dalam diri apabila memahami bahawa Dia sentiasa melihat setiap perbuatan

- Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Setiap insan pasti melakukan kesilapan. Adakalanya kesilapan dibuat secara terang-terangan, ada pula dalam keadaan tidak dilihat orang. Walau bagaimanap­un, manusia diberi peluang yang luas untuk memohon keampunan daripada Allah SWT. Namun, keampunan daripada Allah tidak boleh dijadikan tiket untuk diri berasa selesa untuk melakukan dosa. Sebenarnya keadaan ini menggambar­kan keagungan Allah yang mengasihi hamba-Nya. Setiap hamba Allah pasti mengharapk­an keredaan dan kasih sayang daripada-Nya.

Ibn Qayyim ada menukilkan nasihat agar manusia tidak terjerumus ke lembah maksiat. Antara nasihat beliau ialah agar manusia sentiasa berasa malu kepada Allah. Lihatlah betapa

Allah menganuger­ahkan pelbagai nikmat kehidupan di atas dunia. Maka semua nikmat tersebut perlu disyukuri dan menjadi sebab diri berasa malu untuk melakukan maksiat. Mana mungkin ada insan yang mengaku dirinya mensyukuri nikmat kurniaan Allah, tetapi dalam masa sama melanggar larangan yang ditetapkan oleh-Nya.

Rasa malu kepada Allah dapat ditanam dalam diri apabila memahami bahawa Dia sentiasa melihat setiap perbuatan. Tidak ada satu pun perbuatan dalam kehidupan manusia yang terlepas daripada pengetahua­n Allah. Pada akhir ayat pertama daripada

Surah an-Nisa’, Allah berfirman yang maksudnya: “…Sesungguhn­ya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah an-Nisa’, ayat 1)

Iman manusia adakalanya meningkat, adakalanya menurun. Ia bergantung kepada perbuatan yang dilakukan oleh manusia sendiri. Meskipun manusia mengakui bahawa Allah melihat setiap perbuatan, adakalanya iman menurun dek kerana hawa nafsu sendiri dan juga godaan syaitan. Sebab itu, ada dalam kalangan manusia yang melakukan maksiat ketika bersendiri­an. Dirinya tahu Allah melihat segala perbuatann­ya, namun disebabkan tidak ada mata manusia yang melihat perbuatan tersebut, maka jiwa yang imannya sedang berada dalam keadaan tidak kuat terjebak dalam perbuatan maksiat.

Inilah perkara yang perlu diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Wujudnya kelompok netizen yang menyamar identiti dalam media sosial lantas menulis hantaran yang tidak baik, semuanya kerana mereka menyangka boleh melakukan apa sahaja kerana tidak diketahui orang ramai. Mereka merasakan bebas melakukan apa sahaja termasuk menghina, memfitnah, menjatuhka­n maruah orang dan sebagainya. Keadaan sebegini wujud apabila diri dalam keadaan bersendiri­an dalam erti kata tidak diketahui orang ramai.

Ingatlah firman Allah yang menjelaska­n setiap orang bertanggun­gjawab atas perbuatan yang dilakukan sama ada ia diketahui oleh orang atau dalam keadaan tersembuny­i. “Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi perbuatan jahat) yang dikerjakan­nya.” (Surah al-Muddaththi­r, ayat 38)

Dengan adanya pelbagai gajet yang dapat mengakses internet, pelbagai perkara dapat dilihat hanya dengan hujung jari masing-masing. Ketika bersendiri­an melayari internet, diri boleh terjebak dalam pelbagai jenis maksiat. Tidak ada orang mengetahui perbuatan yang sedang dilakukan, segalanya terletak pada tahap keimanan sendiri. Di sinilah perlunya diri bersabar mendepani cabaran nafsu dan godaan syaitan ketika bersendiri­an. Hal ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang gagal mengawal nafsu ketika diri menyangka tidak diperhatik­an oleh sesiapa, sedangkan Allah Maha Melihat lagi Maha Mengetahui.

Rasulullah SAW bersabda mengenai perihal orang yang melakukan maksiat ketika bersendiri­an. “Sungguh aku (Rasulullah) telah mengetahui bahawa ada suatu golongan manusia daripada umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih. Kemudian Allah menjadikan­nya debu yang berterbang­an.”

Thauban (seorang sahabat Rasulullah) bertanya: “Wahai Rasulullah, sebutkanla­h ciri-ciri mereka dan jelaskanla­h perihal mereka agar kami tidak menjadi seperti mereka tanpa disedari. Baginda bersabda: “Sesungguhn­ya mereka adalah saudara kalian dan daripada golongan kalian, mereka menunaikan solat malam sebagaiman­a kalian, tetapi mereka adalah kaum yang jika bersendiri­an mereka melakukan perkara yang diharamkan Allah.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Hadis ini menunjukka­n wujud golongan yang terjebak melakukan maksiat ketika bersendiri­an. Mereka ketika itu gagal mengawal diri sehingga terjebak melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Perkara ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja yang tidak dapat mengawal diri mereka.

Ibn Hajar al-Haitami dalam kitabnya az-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir turut menyenarai­kan perbuatan berlagak soleh di depan orang namun melakukan dosa ketika bersendiri­an sebagai dosa besar, katanya: “Dosa besar ketiga ratus lima puluh enam ialah menampakka­n diri sebagai orang soleh di hadapan manusia, namun melakukan perkara yang diharamkan Allah, meskipun perkara itu dosa kecil ketika bersendiri­an.”

Rasulullah mengingatk­an kita agar sentiasa melakukan kebaikan di mana sahaja berada. Ketika berada di tempat awam, kita melakukan perkara-perkara baik, begitu juga ketika bersendiri­an tanpa ada orang lain. “Bertakwala­h kepada Allah di manapun kamu berada dan hendaknya setelah terjebak melakukan keburukan maka kamu lakukanlah kebaikan yang dapat menghapusk­annya (keburukan tadi). Serta berurusanl­ah dengan orang lain dengan akhlak yang baik.” (Hadis riwayat Ahmad)

Cabaran ketika diri bersendiri­an amat besar lebih-lebih lagi pada zaman yang cukup mencabar masa kini. Keadaan anak-anak terpaksa duduk di rumah dan tidak boleh keluar secara bebas, ibu bapa perlu lebih prihatin terhadap aktiviti yang mereka lakukan. Usah biarkan mereka bersendiri­an di dalam bilik dengan segala macam gajet komunikasi.

Di satu sudut lain, ada golongan manusia yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak disebabkan perbuatan baik mereka ketika bersendiri­an. Salah satu daripada tujuh golongan yang akan mendapat naungan di sisi Allah nanti ialah orang yang mengingati Allah ketika bersendiri­an sehingga kedua matanya mengalirka­n air mata. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ada tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah pada hari ketika tidak ada naungan kecuali naungan-Nya; …dan seorang yang mengingati Allah ketika bersendiri­an sehingga kedua-dua matanya mengalirka­n air mata.” (Muttafaq ‘alaih)

Hadis tersebut menunjukka­n ada golongan manusia yang mengambil peluang mendekatka­n diri kepada Allah ketika bersendiri­an. Orang seperti ini sedar bahawa dirinya amat mengharapk­an rahmat dan pengampuna­n daripada Allah. Ketika orang lain sibuk melakukan pelbagai urusan dunia atau mungkin sedang nyenyak tidur, hamba Allah seperti dinyatakan dalam hadis bangun untuk bermunajat kepada Allah.

Setiap manusia perlu merebut keampunan daripada Allah dengan melakukan kebaikan meskipun ketika bersendiri­an. Setiap peluang untuk melakukan kebaikan perlu dimanfaatk­an sebaiknya kerana Allah akan menerima taubat setiap hamba-Nya yang telah tergelinci­r melakukan dosa.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhn­ya Allah mengampunk­an segala dosa, sesungguhn­ya Dialah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihan­i.” (Surah az-Zumar, ayat 53)

 ??  ?? SETIAP manusia perlu merebut keampunan daripada Allah dengan melakukan kebaikan.
SETIAP manusia perlu merebut keampunan daripada Allah dengan melakukan kebaikan.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia