Harian Metro

Helah buat tuntutan palsu terbongkar

-

Lelaki berkenaan kutip resit daripada pelanggan lain di tempat letak motosikal”

Kuala Lumpur: Helah seorang lelaki membuat tuntutan palsu menggunaka­n resit pelanggan lain di sebuah pasar raya di Jinjang, di sini, terbongkar selepas dia ditahan polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu oleh pihak pengurusan pasar raya berkenaan yang ragu dengan tuntutan lelaki berusia 21 tahun itu.

“Siasatan dilakukan mendapati modus operandi lelaki berkenaan adalah mengutip resit daripada pelanggan lain di tempat letak motosikal sebelum masuk ke pasar raya itu untuk mencari barang yang tertera pada resit seperti lampin pakai buang dan susu formula bayi.

“Suspek kemudian akan pergi ke kaunter perkhidmat­an pelanggan kononnya untuk menukar barang berkenaan dengan alasan tersilap saiz serta jenama,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, semalam.

Beh berkata, penyelia pasar raya itu yang curiga

Beh Eng Lai

dengan tindakan lelaki itu kemudian membuat semakan menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

“Berdasarka­n rakaman CCTV di pasar raya berkenaan mendapati lelaki itu masuk ke dalam premis dengan ‘tangan kosong’ sebelum mengambil barang tertera dalam resit untuk ditebus di kaunter perkhidmat­an pelanggan.

“Ketika soal siasat, lelaki itu yang juga penganggur mengaku melakukan perbuatan sama di pasar raya itu sebanyak dua kali pada awal tahun ini,” katanya.

Katanya, lelaki terbabit direman selama empat hari bermula semalam hingga 18 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia